Perjumpaan kukuhkan hubungan dua hala

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 APRIL – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah, kelmarin, telah mengadakan perjumpaan dengan Setiausaha Negara bagi Hal Ehwal Luar Negeri, Hal Ehwal Komanwel dan Ehwal Pembangunan dan Setiausaha Pertama Negara United Kingdom (UK), Tuan Yang Terutama Dominic Raab MP yang berlangsung di Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan MOFE, di sini, hari ini, turut hadir semasa perjumpaan berkenaan ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Dato Seri Paduka Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin, Setiausaha Tetap (Pelaburan) di MOFE, Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid dan Setiausaha Tetap (Ekonomi) di MOFE, Dr Hajah May Fa’ezah binti Haji Ahmad Ariffin.

Kenyataan menyatakan bahawa Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew dan TYT Dominic Raab MP amat mengalu-alukan hubungan mesra dan sekian lama terjalin di antara Negara Brunei Darussalam dan UK.

Mengambil maklum akan hasrat bersama untuk mengukuhkan penglibatan dua hala, kedua-dua orang menteri bertukar-tukar pandangan mengenai sokongan UK bagi usaha mempelbagaikan ekonomi Negara Brunei Darussalam dan bidang-bidang kerjasama berpotensi termasuk teknologi kewangan (Fintech) dan tenaga yang boleh diperbaharui.

TYT Dominic Raab MP juga menekankan lagi minat UK untuk meningkatkan hubungan dengan ASEAN dengan menjadi rakan dialog ASEAN dan dalam hubungan itu, UK menyatakan hasrat bagi kemungkinan untuk mengadakan Dialog Ekonomi ASEAN-UK ke-2 pada 2021.

Beliau juga mencari sokongan Negara Brunei Darussalam untuk permohonan UK memperoleh tempat atau memasuki Comprehensive and Progressive Agreement for Trans-Pacific Partnership.

Kenyataan menyatakan bahawa Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew mengongsi Dasar Iklim Kebangsaan Brunei Darussalam yang bermatlamat untuk membuka jalan perubahan ketahanan perubahan iklim bagi negara mampan.

TYT Dominic Raab MP juga memberikan penerangan mengenai aspirasi UK sebagai pengerusi United Nations Climate Change Conference of the Parties ke-26 (COP26) yang dijadualkan untuk diadakan pada 1 hingga 12 November 2021 di Glasgow, UK.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew (kiri) dan TYT Dominic Raab MP bergambar semasa perjumpaan di Kementerian Kewangan dan Ekonomi, baru-baru ini. -Gambar serahan MOFE