Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Jan – Bekas pelajar-pelajar Maktab Duli Pengiran Muda Al Muhtadee Billah (Maktab Duli) pengambilan 1995/1996, baru-baru ini telah mengadakan Majlis Perjumpaan Semula yang diadakan di Auditorium, maktab berkenaan, di sini.
Hadir selaku tetamu kehormat yang berlangsung di Auditorium, maktab berkenaan ialah Pengarah Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan, Haji Abdul Aziz bin Haji Nayan.
Majlis itu juga turut dihadiri oleh bekas pengetua dan pegawai-pegawai kanan Maktab Duli tahun 1995/1996.
Tetamu Kehormat majlis dalam ucapannya berharap agar hubungan yang telah dijalin di antara bekas pelajar akan terus diperkukuhkan dan beliau juga berharap inisiatif untuk mengadakan majlis seumpama ini akan menjadi ikutan oleh pelajar-pelajar lain.

Majlis itu adalah bertujuan untuk mengukuhkan hubungan silaturahim dan setia kawan yang telah dibina sejak zaman persekolahan di Maktab Duli di samping dapat menjadi titik tumpu bagi menjalin rangkaian profesional (professional networking) dan juga peluang-peluang kerjasama di dalam bidang masing-masing.
Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan dan diikuti dengan bacaan doa bagi mengenang mantan guru-guru dan pelajar-pelajar yang telah kembali ke rahmatullah.
Majlis juga diserikan dengan Persembahan Live Band daripada beberapa orang bekas pelajar Maktab Duli pengambilan 1995/1996 juga menyerikan majlis pada hari tersebut.
Di akhir majlis tetamu kehormat menyampaikan sumbangan berupa enam kipas angin (standing fan) dan wang sebanyak $1,757 yang telah berjaya dikutip pada majlis tersebut kepada Timbalan Pengetua Maktab Duli, Dayang Sarina binti Haji Yahya.
































