Saturday, December 7, 2024
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perkampungan Keris warisan seni Terengganu

    Oleh Erda Khursyiah Basir

     

    KUALA Terengganu – Percutian singkat ke Kuala Terengganu baru-baru ini membawa penulis ke Perkampungan Keris di Kampung Ladang Titian, yang terletak di tengah-tengah bandar negeri ini.

    Segalanya bermula apabila saya terjumpa risalah berkisar seni warisan Melayu Terengganu, sewaktu menginap di sebuah hotel.

    Tanpa sebarang temu janji dan ‘main terjah’, saya bernasib baik apabila individu yang ingin ditemu bual sudi meluangkan masa malah menyambut mesra kunjungan pada petang itu.

    “Nak buat kerja macam ni mesti ada minat. Kalau tak, memang tak jadilah.

    “Saya ni generasi ketiga, dulu tok ki (datuk) dan ayah yang buat. Dulu orang kampung sini semua buat belaka, jiran-jiran semua buat (pembuat sarung dan hulu keris), sebab tu jadi nama Perkampungan Keris,” kata Zulkifli Yusoff yang lebih mesra disapa Cik El, membuka bicara.

    Zulkifli Yusoff menunjukkan sarung dan hulu keris yang dibuat oleh arwah bapanya yang berusia hampir 30 tahun. – Bernama

    Legasi Keluarga

    Rancak menjawab pertanyaan saya dalam dialek Terengganu sambil tangannya mengikis sarung keris yang hampir siap, Cik El, 51, berkata niat meneruskan legasi peninggalan keluarga selain rasa cinta terhadap kesenian dan warisan Melayu membuatkan beliau setia dengan kerjaya berkenaan.

    Atas faktor itu juga kerja di bengkel khas yang terletak berhampiran kediamannya itu dijalankan secara sepenuh masa dan menjadi punca rezeki bersama adiknya Mohd Ghazali Mohamad atau lebih dikenali sebagai Pok, 32, yang sejak tadi tekun menyiapkan ukiran ‘anak ayam teleng’ untuk hulu keris.

    Beroperasi setiap hari seawal 8 pagi hingga petang kecuali pada Jumaat, pelanggan yang datang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan tidak terhad dari negeri ini sahaja.

    “Sambutan setakat ini Alhamdulillah, boleh kata tak pernah tak ada kerja, sentiasa ada (permintaan)… Pendek kata buat kerja sampai ‘muntoh’ (banyak kerja).

    “Selain pelanggan dari Terengganu dan negeri lain, ada juga pelancong dari luar negara yang dibawa oleh pemandu pelancong. Biasanya ada tiga kategori mereka yang menempah sarung (termasuklah hulu keris), ada yang minat ‘saje-saje’ nak simpan keris, penjual keris dan yang terlibat dengan seni persilatan,” katanya.

    Terdapat beberapa jenis kayu yang sesuai dan biasa digunakan untuk membuat sarung dan hulu keris, bergantung kepada kehendak pelanggan.

    “Jika pelanggan nak kayu molek (elok), dia boleh bawa kayu dia… kalau tak, boleh guna kayu kita. Antara kayu yang biasa digunakan ialah kayu kemuning, rebang dan sena sebab ia mempunyai banyak fungsi.

    “Dari segi tertib (turutan) pula, memang dah jadi tradisi orang buat keris guna kayu kemuning, orang tak pakai kayu kemuning buat rumah,” tambah lelaki yang penuh dengan ‘sense-of-humor’ ini ‘menghidupkan’ cuaca mendung petang itu.

    Peringkat Proses

    Masih banyak bergantung kepada peralatan tradisional dalam menghasilkan sarung keris, ia termasuklah tukul yang dibuat daripada tanduk kerbau dan beliung iaitu sejenis alat pertukangan kayu yang digunakan untuk membentuk, menarah dan melicinkan permukaan kayu yang kasar secara manual menggunakan tangan.

    “Lepas tebang pokok, kita akan guna beliung untuk tarah atau bersihkan permukaan kasar kayu. Kemudian, kita akan tengok saiz bilah keris untuk dipadankan dengan sarung dan kemudian dipadankan dengan hulu pula.

    “Selepas dah tentukan saiz, baru kita akan potong kayu guna gergaji dan tarah serta kikis untuk haluskan permukaannya. Kita juga gunakan kertas pasir untuk memperhalusi lagi permukaan kayu dan selepas itu, baru kita spray ‘clear’ dan kemudian ukir sebelum melakukan ‘finishing’ spray supaya tahan lebih lama dan tidak pecah,” jelasnya sambil menambah proses sama turut dilakukan bagi menghasilkan hulu keris.

    Antara sarung keris bersaiz standard yang telah siap terdapat di bengkel Cik El, 51. Terdapat beberapa jenis kayu yang sesuai dan biasa digunakan untuk membuat sarung dan hulu keris seperti kemuning, rebang dan sena. – Bernama

    Motif ukiran sarung keris lazimnya bergantung kepada kehendak pelanggan yang biasanya merangkumi motif bunga kemuning dan awan larak manakala untuk hulu keris, ukiran anak ayam teleng, jawa demang, tapak kuda dan patah tiga antara yang popular.

    Harga bagi sarung dan hulu keris yang dihasilkan berbeza mengikut saiz dan motif ukiran yang dikehendaki pelanggan, antaranya bermula serendah RM50 hingga RM400 manakala untuk sarung dan hulu antik pula mungkin sekitar RM700 hingga RM800 dan mencecah hingga RM5,000 jika pelanggan mahu meletakkan sebarang hiasan tambahan seperti perak bagi mencantikkannya lagi.

    Yayasan Diraja Sultan Mizan

    Tidak mengikuti sebarang kursus atau kelas khas Cik El berkata beberapa program keusahawanan yang disertainya melalui beberapa jabatan dan agensi kerajaan banyak membantu beliau memasarkan produknya.

    Selain itu, Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) yang antara matlamatnya melaksanakan program pemuliharaan dan pengembangan seni kraf warisan Terengganu turut membantu beliau mengembangkan perniagaannya.

    “Melalui YDSM, imbuhan akan diberikan kepada mereka yang berminat untuk belajar dalam bidang ini di mana saya akan bertindak sebagai mentor.

    “Ini kali pertama saya menyertai program ini dan pelatih yang datang belajar perlu memperuntukkan masa kira-kira setahun lebih untuk mendalami bidang ini,” katanya sambil menambah adiknya Pok turut menjadi pelatih beliau sebelum ini.

    Turut ditanya mengenai cabaran kerjaya itu, Pok yang sejak awal hanya mendengar perbualan kami berkata kemasukan barangan luar terutama dari negara jiran seperti Indonesia menjadi antara cabaran besar.

    Selain itu, hasrat kerajaan untuk mengambil tanah kawasan berkenaan dan memindahkan Perkampungan Keris ke daerah Marang dikhuatiri akan mengakibatkan jumlah pelancong menurun sekali gus memberi kesan kepada industri berkenaan.

    “Cawangan di Marang akan dibuka dalam masa terdekat tapi Marang jauh dan susah nak tarik pelancong. Alangkah baiknya jika kerajaan dapat sediakan sebuah penempatan baharu yang bukan sahaja untuk keris tetapi untuk semua seni kraf warisan seperti batik, tembaga dan bot.

    “Pelancong sebenarnya nak tengok cara kita buat kerja bukan nak tengok produk semata-mata. Mereka ke sini bukan nak tengok bangunan tinggi, tapi nak tengok kreativiti kita… Di Jepun sebagai contoh mereka ada ‘centre’ seperti ‘Samurai Districts’ yang terkenal dengan budaya dan tradisi samurai,” katanya sambil menambah cadangannya itu selaras dengan slogan ‘Kuala Terengganu Bandaraya Warisan Pesisir Air’ selain membantu membangunkan ekonomi pengusaha kraf tempatan.

    Pok pada masa sama berkata promosi dan sokongan daripada agensi kerajaan dan bukan kerajaan amat dialu-alukan bagi menggalakkan orang ramai lebih menghargai tradisi warisan turun-temurun itu.

    Bagaimana pun, terbit riak kecewa di wajah dua beradik itu apabila ditanya siapa yang bakal mewarisi kerja-kerja mereka selepas ini.

    “Kalau boleh memang saya nak anak mewarisi, tapi tak menjadi dan tak nampak minat tu… Jadi selepas ini tiadalah generasi selepas kami yang akan mewarisi kerja ini. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda