Thursday, August 11, 2022
22.8 C
Brunei

Perkara-perkara yang boleh membatalkan wuduk

-

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Mempelajari, mengetahui dan mendalami ilmu agama lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan ibadat adalah dituntut dan digalakkan agar ibadat yang dilaksanakan itu sah dan sempurna.

Membatalkan wuduk

Menurut ulama perkara yang membatalkan wuduk itu ialah:

  1. Keluar sesuatu daripada dua kemaluan (qubul dan dubur).
  2. Hilang akal dengan sebab seperti tidur, pitam, mabuk dan sebagainya kecuali tidur bagi orang yang tetap punggungnya atas tempat duduknya.
  3. Menyentuh kemaluan dengan telapak tangan.
  4. Menyentuh kulit lelaki atau perempuan dewasa yang bukan mahram tanpa berlapik.

Dalam ruangan kali ini, fokus perbincangan adalah berkaitan dengan salah satu daripada perkara yang membatalkan wuduk, iaitu keluar sesuatu daripada dua kemaluan (qubul dan dubur).

Keluar sesuatu daripada qubul atau dubur

Apabila seseorang yang dalam keadaan berwuduk mengetahui dan yakin sesuatu keluar daripada qubulnya (kemaluan di hadapan) atau duburnya (kemaluan di belakang), maka perkara ini menyebabkan wuduknya menjadi batal. Maksud qubul itu merangkumi lubang tempat keluar air kencing, dan haid bagi perempuan.

Cara sesuatu itu ‘keluar’ daripada qubul atau dubur pula merangkumi perkara-perkara berikut:

– Secara dipaksa ataupun tanpa paksaan seperti sesuatu itu keluar dengan sendirinya atau kerana proses semula jadi.

– Secara disengajakan ataupun tanpa disengajakan seperti terlupa. Yang dimaksudkan dengan ‘sesuatu’ yang keluar daripada qubul atau dubur itu sama ada:

– Dalam bentuk ‘ain (zat benda) seperti tahi, air kencing ataupun angin seperti kentut.

-Kering ataupun basah seperti cecair daripada qubul. Dikecualikan dalam perkara ini, air mani seseorang semata-mata (yakni tidak bercampur dengan mani orang lain) yang keluar daripadanya.

Umpamanya seseorang yang tidur dalam keadaan duduk dan tetap punggungnya lalu dia bermimpi sehingga keluar air mani, maka perkara ini tidak membatalkan wuduk.

– Banyak ataupun sedikit.

– Suci seperti batu dan ulat ataupun najis.

– Merupakan sesuatu yang biasa dialami atau adat kebiasaan seperti tahi, air kencing, mazi, wadi, ataupun jarang dialami atau ganjil seperti nanah, anak batu, kayu, ulat, cacing dan termasuk darah, seumpama darah yang mengalir keluar daripada buasir yang berada di bahagian dalam dubur dan selain darah buasir.

-Suatu benda itu keluar semuanya atau sebahagiannya, umpamanya ulat atau cacing yang hanya terkeluar semuanya atau kepalanya.

Persoalan-persoalan

Berikut adalah beberapa perkara yang dibincangkan oleh para ulama mengenai isu-isu yang membatalkan wuduk ataupun tidak, yang berhubung kait dengan perkara ‘keluar sesuatu daripada qubul atau dubur’, contohnya:

– Berasa syak sama ada terkentut ataupun tidak

Seseorang yang berwuduk yang menyangka, merasa syak atau ragu-ragu dan tidak yakin adakah dia terkentut ataupun tidak, masih tetap dikira dalam keadaan berwuduk. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW bahawa seorang lelaki telah mengadu kepada Nabi SAW bahawa pada sangkaannya dia keluar angin (terkentut) ketika dia bersembahyang dan dia tidak pasti akan perkara itu. Lalu Baginda pun bersabda yang maksudnya, “Janganlah seseorang itu keluar (daripada sembahyang) sehinggalah dia (benar-benar) mendengar bunyi (kentut) atau mendapati (mencium) baunya.” (Hadis riwayat Muslim)

Hadis di atas bermaksud bahawa seseorang yang tidak pasti ketika mendirikan sembahyang adakah dia terkentut atau tidak, janganlah dia keluar dari sembahyangnya. Sebagaimana juga ia memberi maksud bahawa hanya kerana perasaan syak atau tidak pasti adakah wuduknya terbatal atau tidak, tidak mewajibkan seorang itu mengambil wuduk semula.

Ulama, seseorang yang merasa yakin dia masih dalam keadaan suci atau berwuduk apabila dia merasa syak adakah wuduknya terbatal atau tidak, maka perasaan syaknya itu tidak menjejaskan wuduknya.

Oleh itu, dia boleh mendirikan sembahyang dengan wuduknya itu. Begitu juga sebaliknya, jika seseorang merasa yakin bahawa wuduknya sudah terbatal kemudian dia syak apakah dia masih mempunyai wuduk, maka dihukumkan bahawa wuduknya telah pun terbatal.

Sekiranya timbul syak pada diri seseorang, maka hendaklah diteruskan dengan apa yang diyakininya. Ini bersesuaian dengan salah satu qa‘idah fiqhiyyah yang menyebut “keyakinan tidak dihilangkan oleh syak.”

Ini bermaksud keyakinan adalah satu perkara yang tetap, manakala syak adalah satu perasaan yang mendatang. Oleh itu, sesuatu perkara itu dihukumkan mengikut apa yang tetap (yang diyakini) dan bukan yang disyaki.

– Darah yang keluar daripada buasir

Tidak batal wuduk jika darah keluar daripada buasir yang terkeluar daripada dubur pada ketika atau sebelum seseorang itu berwuduk.

Berbeza hukumnya jika darah itu keluar dari buasir yang berada di dalam dubur, maka batal wuduknya.

Begitu juga batal wuduk seseorang jika buasir yang berada di dalam dubur pada ketika dia berwuduk, kemudian setelah dia berwuduk buasir itu terkeluar daripada duburnya atau bertambah keluar, walaupun hanya separuh manakala separuh lagi masih di dalam dubur.

– Memasukkan sesuatu ke dalam qubul atau dubur

Tidak batal wuduk jika seseorang itu hanya memasukkan sesuatu benda ke dalam kemaluan qubul atau dubur seperti peralatan menduga, benang, jari dan seumpamanya, dan tidak mengeluarkannya semula dari kemaluan. Sama ada benda itu dimasukkan kesemua sekali atau hanya sebahagian sahaja. Sebagai contoh seseorang yang memasukkan sebahagian daripada benang ke dalam kemaluannya, manakala sebahagian lagi masih tergantung di luar kemaluan.

Dalam keadaan demikian, wuduknya tidak batal, selama mana dia tidak menarik benang itu keluar. Dia juga boleh membaca Al-Quran umpamanya, akan tetapi tidak sah sembahyangnya dalam keadaan demikian.

Ini kerana dalam sembahyang, dia (orang yang berwuduk itu) dihukumkan sebagai menanggung sesuatu yang bersambung dengan najis. Maka tidak sah sembahyangnya kerana antara syarat sah sembahyang ialah suci daripada najis sama ada pada diri, pakaian atau tempat.

Berbeza hukumnya jika seseorang memasukkan sesuatu ke dalam qubul atau duburnya, kemudian mengeluarkannya semula, maka perbuatannya mengeluarkan semula benda itu membatalkan wuduk. Tidak kira sama ada benda yang dikeluarkan itu bercampur najis ataupun tidak, dan sama ada dikeluarkan sebahagian sahaja atau kesemua sekali.

Ini kerana perbuatannya mengeluarkan semula benda tersebut daripada kemaluan bertepatan dengan maksud keluar sesuatu daripada kemaluan.

– Persoalan air mani yang terkeluar, memasukkan semula dan yang bercampur-campur.

Pada dasarnya, keluar air mani semata-mata (tidak bercampur dengan air mani orang lain) daripada qubul seseorang adalah tidak membatalkan wuduk seperti yang telah dijelaskan terdahulu.

Akan tetapi wuduk menjadi batal jika keluar daripada seseorang air mani yang lain selain daripada air maninya sendiri, atau keluar air maninya yang bercampur dengan air mani orang lain, atau keluar air maninya yang terlebih dahulu dimasukkannya ke dalam qubulnya.

Dalam tiga keadaan yang disebutkan, wuduk seseorang itu menjadi batal tetapi tidak mewajibkan mandi.

Sebagai kesimpulan, antara perkara yang membatalkan wuduk itu ialah keluar sesuatu daripada salah satu kemaluan (qubul atau dubur).

Sama ada sesuatu itu keluar secara dipaksa ataupun dengan sendirinya, dengan sengaja atau terlupa, berbentuk zat (‘ain) atau angin, kering ataupun basah, banyak ataupun sedikit, suci ataupun najis, benda yang sudah biasa keluar daripada dua kemaluan ataupun sesuatu yang jarang ataupun ganjil dan keluar kesemuanya ataupun tidak.

Semata-mata memasukkan sesuatu ke dalam kemaluan, tidak membatalkan wuduk’ selama mana dia tidak mengeluarkannya semula.

Akan tetapi mengeluarkan semula benda yang dimasukkan ke dalam kemaluan itu membatalkan wuduk kerana bertepatan dengan erti keluar sesuatu.

Artikel sebelum iniJumaat, 21 Jun 2019
Artikel seterusnyaGempa bumi gegar Papua
- Advertisment -

DISYORKAN UNTUK ANDA

Virus Langya jangkiti 35 individu di China

BEIJING, 10 OGOS – Saintis-saintis telah mengesan virus baharu yang dikatakan berasal dari haiwan di timur China yang telah menjangkiti puluhan orang, lapor BBC...
- Advertisment -