Oleh Nurdiyanah R.
TUTONG, 12 MAC – Dengan hasrat untuk mengeratkan ikatan silaturahim dan perpaduan sesama ahli serta keluarga masing-masing yang sekali gus diharap dapat mendidik diri agar sentiasa mendekatkan diri kepada pelbagai kegiatan yang berkebajikan dalam kehidupan seharian, Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) Tutong telah mengadakan program keagamaan menerusi Majlis Membaca Surah Yasin dan Tahlil, baru-baru ini.
Majlis kerohanian yang dikendalikan oleh Biro Keagamaan itu diadakan ke rumah-rumah ahli pusat di sekitar Daerah Tutong dengan dimulai kunjungan ke kediaman Hajah Mariah binti Laki di Kampung Bukit Udal, Mukim Tanjong Maya yang mana telah disertai oleh seramai 80 orang ahli pusat berkenaan.
Turut hadir ialah Pengurus PKWE Tutong, Haji Metamit bin Mat Zain.
Ketua Biro Keagamaan, Haji Hammafi bin Mohd Yassin yang turut memimpin bacaan Surah Yasin dan tahlil, menjelaskan bahawa tujuan utama program berkenaan adalah sebagai salah satu usaha untuk memperkasakan dakwah Islamiah dalam kalangan masyarakat di negara ini.
Di samping itu, ia juga bermatlamat bagi sama-sama menjunjung tinggi hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadikan negara yang dicintai ini sebagai sebuah Negara Zikir berlandaskan falsafah Melayu Islam Beraja.
Program yang hanya diadakan sekali seminggu di Bangunan PKWE Tutong pada tahun sebelumnya itu dilaratkan ke rumah-rumah ahli di mukim-mukim dan kampung daerah berkenaan sekurang-kurangnya sekali dalam sebulan iaitu setiap Khamis.

