Oleh Nurdiyanah R.
Gambar serahan ICRC Kuala Lumpur
Pelbagai pengalaman telah ditempuhi bukan sahaja meninggalkan kenangan terindah dalam diari kehidupan bahkan semangat ketenteraan dalam menanai peranan dan tanggungjawab untuk sentiasa bersiap siaga dan bersedia mengekalkan keamanan, kestabilan dan keadilan hak asasi manusia sama ada dalam negara, serantau mahupun di arena antarabangsa sentiasa mengalir dalam minda dan jiwa insan ini.
“Begitu sukar diungkapkan dengan kata-kata sepenuhnya, detik-detik suka dan duka yang mewarnai segala pengalaman berkhidmat sebagai salah seorang kontinjen peacekeeper Malaysia di negara-negara berlakunya konflik seperti di Bosnia dan Balkan. Begitu juga pengalaman menanai amanah bersama pasukan khas dalam perkhidmatan undang-undang tentera laut Malaysia untuk membawa kes tuntutan kedaulatan Malaysia untuk Pulau Sipadan dan Ligitan. Semuanya masih segar di minda ini apabila dikenang kembali. Itulah antara liku-liku pengalaman yang dirasai setelah hampir 38 tahun menabur khidmat bakti di Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Melihat kesengsaraan dan keperitan manusia serta kemusnahan yang dialami oleh negara-negara konflik itu pastinya telah membuka hati dan diri ini untuk tampil menyumbang lebih manfaat kepada golongan yang memerlukan. Sehingga pada suatu ketika, dengan izin Allah SWT, saya berpeluang berkhidmat di Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa atau The International Committee of the Red Cross (ICRC) Kuala Lumpur, Malaysia sekitar tahun 2015 sehingga ke detik ini khususnya dalam bidang Undang-undang Kemanusiaan Antarabangsa (UUKA) kepada masyarakat bukan ha-nya di Malaysia bahkan juga luar negara,” itulah perkongsian yang diungkapkan oleh Koordinator Angkatan Bersenjata dan Pasukan Keselamatan (Armed Force and Security Coordinator), ICRC, Kuala Lumpur, Azhari bin Abdul Aziz semasa ditemu bual secara dalam talian oleh penulis, baru-baru ini.
Peranan ICRC tangani isu masyarakat global
Sejak penubuhannya di tahun 1863, ICRC telah membantu orang-orang di seluruh dunia yang terjejas oleh konflik bersenjata dan situasi keganasan yang lain. Sebagai sebuah organisasi kemanusiaan yang bebas, ICRC berusaha untuk melindungi maruah orang dan menghilangkan penderitaan mereka, lazimnya dengan adanya penglibatan rakan-rakan daripada Pergerakan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah.
ICRC berusaha untuk mencegah kesusahan dengan mempromosikan dan memperkuat undang-undang kemanusiaan antarabangsa (iaitu undang-undang konflik bersenjata) dan memperjuangkan prinsip kemanusiaan sejagat. Sebagai pihak berkuasa dalam badan undang-undang ini, ICRC adalah pendorong di belakang Konvensyen Geneva tahun 1949.
ICRC di Malaysia telah bermula sejak tahun 1940an, iaitu pada zaman pra-kemerdekaan di Malaya. Delegasi serantau ICRC Kuala Lumpur kemudiannya ditubuhkan pada tahun 1973 dan sejak tahun 2001 ia bertanggungjawab ke atas aktiviti di Malaysia, Brunei dan Singapura.
Delegasi serantau ICRC mempromosi nilai-nilai kemanusiaan, serta norma-norma dan piawaian antarabangsa yang berkaitan dengan agensi-agensi kerajaan, pihak penahanan, angkatan tentera dan keselamatan, dan masyarakat madani. ICRC juga berhubung rapat dengan pertubuhan-pertubuhan kebangsaan dan serantau, termasuk ASEAN, untuk memahami isu-isu kepentingan bersama dan untuk berkongsi kepakaran teknikal, pengalaman, analisis dan sokongan-sokongan lain. Kebanyakan kerja-kerja ini dijalankan bersama dengan Jabatan dan agensi kerajaan Malaysia, Brunei dan Singapura dan bersama Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia, Persatuan Bulan Sabit Merah Brunei dan Palang Merah Singapura.
Detik mula menceburi bidang Undang-undang Kemanusiaan
Sehubungan dengan itu, Azhari yang juga bertindak sebagai ketua Unit Pencegahan (Head of Prevention Unit) delegasi serantau ICRC, Kuala Lumpur itu turut berkongsi bahawa beliau menceburi bidang undang-undang kemanusiaan sejak tahun 1994 atas keperluan ATM apabila mereka menyedari berlakunya kelopongan (gaps) dalam pengetahuan warga ATM terhadap obligasi yang dinyatakan dalam Konvensyen Geneva di mana Malaysia telah menerima pakai dan menjadi ahli kepada konvensyen berkenaan.
Pada ketika itu, beliau bersama empat orang rakan dalam ATM sebagai kumpulan pertama telah diamanahkan untuk mengikuti latihan khusus dengan bantuan ICRC beroperasi di Bangkok, Thailand yang sekali gus dilantik menjadi ahli Jawatankuasa Undang-undang Peperangan ATM yang bertanggungjawab menasihati pucuk kepimpinan ATM dan Kementerian Pertahanan mengenai obligasi negara terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa, mengubal dasar dan doktrin pertahanan. Hal ini dilaksanakan agar ianya selari dengan obligasi negara dan merangka pelan tindak untuk penyebaran dan integrasi undang-undang kemanusiaan antarabangsa ini dalam program keilmuan, eksesais, latihan dan penguatkuasaan dalam perundangan tentera.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2021/04/P15-A_24042021.jpg)
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2021/04/P15-C_24042021-1.jpg)
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2021/04/P16-B_24042021-1.jpg)
Kejayaan dalam integrasi undang-undang kemanusiaan antarabangsa ini dalam peringkat Kementerian Pertahanan dan ATM telah diperluaskan lagi skopnya ke peringkat nasional dengan penubuhan Jawatankuasa Undang-undang Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia yang menggabungkan beberapa agensi serta kementerian yang lain.
Berteraskan komitmen dan kesungguhan menanaikan tugas yang dipertanggungjawabkan sebelumnya, Azhari yang merupakan pesara laksamana pertama dan seorang barrister dalam Tentera Laut Diraja Malaysia itu begitu cekal untuk meneruskan peranannya di ICRC, Kuala Lumpur terutamanya dalam aspek mengetuai jabatan angkatan tentera kita yang terlibat dengan angkatan bersenjata dalam latihan ketenteraan, latihan dan pengembangan doktrin undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Pentingnya UUKA
Berbicara mengenai dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa, Azhari yang juga pernah terlibat dalam pasukan operasi keamanan tentera laut Malaysia dalam insiden penyanderaan kapal MISC oleh lanun Somalia dan situasi ketegangan di Lahat Datu, Sabah sewaktu ketika dahulu turut menjelaskan bahawa UUKA adalah satu set peraturan yang bertujuan untuk mengehadkan kesan konflik bersenjata atas dasar kemanusiaan. UUKA melindungi individu yang tidak terlibat, atau tidak lagi mengambil bahagian dalam pertempuran, dan mengehadkan cara serta kaedah peperangan. UUKA turut dikenali sebagai ‘undang-undang perang’ atau ‘undang-undang konflik bersenjata’.
UUKA adalah sebahagian daripada undang-undang antarabangsa awam iaitu satu set peraturan yang mengawal selia hubungan antara negara. Secara umumnya, UUKA terdiri daripada konvensyen yang dimeterai antara negara, peraturan-peraturan lazim (amalan biasa yang diterima pakai sebagai undang-undang), dan prinsip-prinsip umum undang-undang di bawah status Mahkamah Keadilan Antarabangsa.
“Ruang lingkup undang-undang kemanusiaan antarabangsa ini sangatlah luas, iaitu merangkumi pemeliharaan maruah manusia and alam sekitar. Ia tidak menghalang peperangan tetapi bertujuan untuk memberi perlindungan dan bantuan kepada mangsa-mangsa konflik seperti orang awam, kanak-kanak, kaum wanita, golongan rentan dan mereka yang cedera,” tegasnya lagi,
Beliau mengemukakan lagi bahawa undang-undang kemanusiaan antarabangsa ini meliputi secara khusus kesan akibat konflik peperangan tersebut secara langsung atau tidak langsung antaranya hak untuk mendapatkan pembelajaran bagi kanak-kanak iaitu akses dan keselamatan diri mereka ke sekolah dan juga sekolah tidak dijadikan objek serangan ketenteraan. Begitu juga hak pemeliharaan maruah kaum wanita dalam konflik mencakupi keselamatan mereka ketika keluar mencari rezeki, di samping membanteras segala kekasaran dan gangguan seksual terhadap mereka dalam situasi berdepan dengan konflik peperangan.
Dalam pada itu, Azhari turut menekankan pemahaman undang-undang kemanusiaan ini bukan sahaja mustahak bagi golongan yang bertelagah dalam situasi konflik secara langsung untuk dijadikan garis panduan tingkah laku kepada mereka bahkan pengetahuan undang-undang berkenaan juga penting kepada masyarakat umum dalam memahami hak mereka merangkumi perlindungan dan begitu juga bagi mereka yang memberi bantuan kemanusiaan seperti pasukan penyelamat meliputi bomba, polis, pakar dan kakitangan kesihatan.
Selain itu, pemahaman undang-undang berkenaan juga menekankan hak perlindungan alam sekitar dalam pemilihan senjata dan kesan perang kepada alam sekitar serta kehidupan masyarakat setelah berakhirnya konflik tersebut misalnya pembersihan kawasan dari jerangkap samar dan bahan letupan bagi masyarakat umum untuk meneruskan kelangsungan kehidupan. Hal ini begitu penting ditekankan agar negara-negara yang terlibat isu konflik itu dapat meniti kehidupan seperti sedia kala sama ada dalam lingkungan hubungan masyarakat setempat mahu pun peringkat antarabangsa dengan penuh kestabilan dan keamanan.
Oleh yang demikian, adalah penting undang-undang kemanusiaan antarabangsa ini dipatuhi oleh semua pihak sama ada kehidupan individu, masyarakat, negara dan hubungan negara diperingkat antarabangsa.
Tertubuhnya CoMIHL
Dalam meniti kerjaya di ICRC, Kuala Lumpur, Azhari yang kini berusia 59 tahun ini turut menjelaskan bahawa pelbagai kegiatan telah dijalankan antaranya pada awal penglibatannya dengan ICRC, beliau dipertanggungjawab dalam mengetengahkan hubungan ICRC dengan para tentera di sembilan buah negara Asia Pasifik yang juga meliputi tentera Amerika Syarikat berpengkalan di Hawai, Jepun, Malaysia, Brunei, Singapura, Fiji, Australia, Papua New Guinea dan New Zealand.
Dalam hubungan kerjasama itu, beliau telah menjalankan khidmat pakar dalam penyebaran undang-undang kemanusiaan, sama ada dalam bantuan kepakaran dalam penyediaan doktrin, menyediakan kursus dan bengkel undang-undang, di samping mengadakan dialog bersama pihak berkepentingan termasuk peringkat menteri. Antaranya semasa di Brunei, beliau berpeluang menemui Menteri Pertahanan II dan komander Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan begitu juga pernah menyediakan latihan kepada tentera and polis di Papua New Guinea dalam persediaan mereka untuk berkhidmat dalam menjadi negara penganjur kepada mesyuarat Asia Pacific Economic Conference (APEC).
Dalam masa yang sama, ICRC memberi peluang kepada beliau untuk mengusahakan kerjasama buat julung kalinya antara ICRC dan kerajaan Malaysia dalam menubuhkan sebuah pusat kecemerlangan di peringkat Asia Pasifik dengan menubuhkan Pusat Undang-undang Kemanusiaan Antarabangsa dan Ketenteraan atau Centre for Military and International Humanitarian Law (CoMIHL) di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia pada 24 Ogos 2017.
“Penubuhan CoMIHL atas komitmen yang tinggi dari usahasama ICRC, Kementerian Pertahanan Malaysia dan pihak Universiti Pertahanan Nasional Malaysia itu sememangnya menjadi mercu tanda persefahaman dalam mewujudkan satu pusat kecemerlangan ini sebagai pusat tunggal di rantau Asia Pasifik yang menyediakan kursus pembelajaran, penyebaran dan penyelidikan dalam bidang undang-undang kemanusiaan dan kini telah melibatkan penyertaan dari 22 buah negara Asia Pasifik secara keseluruhannya sehingga mewujudkan alumni yang jumlahnya agak besar untuk mengembangkan undang-undang kemanusiaan di rantau ini,” ujarnya dengan penuh kesyukuran.
Di samping itu, ICRC juga telah berjaya mewujudkan Senior Military Lawyers Roundtable pada tahun 2016 bagi meneruskan platform serantau bagi membincangkan isu-isu kemanusiaan dan mempengaruhi dasar-dasar negara serantau. Selain itu, penglibatan insan ini dalam penyebaran undang-undang kemanusiaan ini bukan hanya tertumpu kepada negara di Asia Pasifik tetapi meliputi negara-negara di benua lain seperti Afrika, Asia Barat dan Eropah.
Bekerjalah dalam beribadah
Dalam pada itu, Azhari turut berkongsi bahawa segala kepuasan dalam menanai segala tanggungjawab itu akan dapat dirasai dengan sepenuhnya jika kita menyemai minat yang mendalam serta terus cekal dalam tugas dan amanah yang dipikul.
“Biarlah kita bekerja sambil beribadah dengan memohon kerahmatan dari Allah Subhanahu Wata’ala semata-mata. Semai sikap empati bukan simpati dengan meraih ilmu secukupnya dan ketahuilah perubahan walaupun sedikit merupakan permulaan bagi perubahan yang lebih besar,” ucapnya dengan penuh ketulusan semasa mengakhiri temubual dalam talian bersama Media Permata, baru-baru ini.