Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OGOS – Tidak dapat dinafikan, pelbagai cabaran dan masalah telah dilalui lebih-lebih lagi ketika dunia dikejutkan dengan penularan jangkitan wabak COVID-19.
Turut terkesan sehingga kini adalah keadaan ekonomi dunia sehingga mengakibatkan ramai yang kehilangan pendapatan dan pekerjaan. Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan untuk membantu orang yang kurang bernasib baik melalui projek tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) melalui Bahagian Pendidikan Lanjutan dan Latihan (CET) juga tidak ketinggalan untuk melaksanakan projek CSR sebagai satu inisiatif tahunan di mana salah satu projek yang telah dilaksanakan adalah memberi pendidikan serta kemahiran kepada para ibu tunggal.
Perkara itu dinyatakan oleh Pengarah Bahagian, IBTE CET, Hajah Maznah binti Haji Abdullah dalam kata alu-aluannya pada Majlis Penyampaian Sijil untuk Persatuan Gerakan Ibu Tunggal (PGIT) bagi Kursus Pemasaran bagi Menjalankan Perniagaan dari Rumah, hari ini.
Hadir untuk menyempurnakan penyampaian sijil pada majlis yang berlangsung di Dewan Kuliah CET, Bangunan IBTE CET itu ialah Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif IBTE, Dr Haji Mohd Zamri bin Haji Sabli.
Hajah Maznah berkata lagi bahawa ibu-ibu tunggal adalah ketua keluarga yang bertanggungjawab dan berperanan besar dalam menjana pendapatan untuk kelangsungan hidup dalam membesarkan anak-anak.
“Mereka juga mempunyai potensi besar dalam membina keluarga khasnya dan komuniti umumnya dengan menceburi bidang keusahawanan dari rumah jika mereka diberi
kepercayaan, peluang dan dibekalkan dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran relevan dalam bidang berkenaan,” ujarnya.
Beliau menerangkan bahawa kursus itu telah mendedahkan para peserta dengan latihan pemasaran dan percaya dengan adanya bimbingan daripada latihan itu, ia dapat membantu para peserta sedikit sebanyak meluaskan lagi pasaran sasaran mereka melalui platform yang sedia ada.
Hajah Maznah turut menyarankan supaya orang ramai khususnya ibu tunggal supaya sentiasa bersikap positif dalam apa jua aktiviti yang dijalankan dan sentiasa menceburi aktiviti menaik taraf kehidupan.
Projek itu, tambahnya, akan berterusan pada tahun-tahun yang akan datang dan diperluaskan kepada golongan yang memerlukan, seperti golongan yang dikenal pasti menghadapi kesukaran hidup dan di tahap sosioekonomi yang rendah dalam mendukung kursus dan program pembelajaran sepanjang hayat.
Kursus yang dilaksanakan oleh IBTE CET itu berjalan selama empat hari dan disertai oleh seramai 14 orang peserta daripada PGIT.
Sepanjang kursus itu dijalankan, para peserta didedahkan serta diperkenalkan kepada aktiviti-aktiviti pemasaran terkini supaya lebih menepati sasaran perniagaan mereka.