Perkasa kemahiran industri kreatif

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JUN – Dalam usaha untuk memperkasakan kemahiran dalam bidang industri kreatif, Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FASS), Universiti Brunei Darussalam (UBD) akan menganjurkan Design Week 2021 (DW21) bersama para pakar profesional dalam industri reka bentuk bermula 16 sehingga 29 September nanti.

Acara yang akan diadakan di universiti berkenaan akan memfokuskan kepada empat bidang utama iaitu Sustainable Design, Creative / Smart Cities, Cultural Identity dan Future of Design Work.

DW21 diadakan bermatlamat untuk membincangkan kepentingan kemahiran reka bentuk dalam meniti perkembangan industri kreatif dan juga sektor ekonomi yang lain meliputi aspek perekonomian tempatan, serantau dan juga antarabangsa.

Di samping itu, acara berkenaan juga adalah bagi mempromosikan wacana mengenai amalan reka bentuk, yang sememangnya mengandungi konsep yang amat luas dengan menumpukan kepada perkembangan dalam konsep reka bentuk berkaitan aspek kemasyarakatan, persekitaran, sejarah dan juga faktor teknologi.

Sehubungan itu, pihak penganjur juga menggalakkan penglibatan komuniti reka bentuk untuk sama-sama membantu menyumbang kepada program inklusif dalam pelbagai kategori termasuklah ceramah, seminar, bengkel dan masterclasses.

Dalam pada itu, Design Awards juga akan menjadi salah satu tarikan di mana ia bakal dihakimi oleh seorang juri antarabangsa, selain beberapa pakar profesional dalam bidang industri ini dan pereka bebas dan kreatif turut dijemput dalam menjayakan acara berkenaan yang sudah setentunya dapat berkongsi pengetahuan dan pengalaman sebenar dalam bidang masing-masing.