Saturday, April 20, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    Perkasa komitmen PGIT

    Oleh Salawati Haji Yahya
    Gambar serahan Kumpulan Itqan EDPMMO32

    Dengan tujuan untuk memberikan kemahiran dalam pelbagai bidang bagi mengukuhkan ekonomi ibu tunggal di negara ini, Persatuan Gerakan Ibu Tunggal (PGIT) telah ditubuhkan pada 8 Disember 2021.

    Tertubuhnya PGIT ini bertujuan untuk mengembangkan pengetahuan, kemahiran di kalangan ibu tunggal selain melengkapkan diri dengan akhlak yang murni, amanah, bertanggungjawab, berdisiplin, dinamik, berdikari dalam pembangunan dan mengukuhkan perpaduan negara bagi penglibatan ibu tunggal dan sosial ekonomi yang kukuh dan berterusan.

    Persatuan ini kini mempunyai 81 orang ahli di seluruh negara yang dipimpin oleh Dayang Norliha binti Haji Awang Besar selaku yang dipertua PGIT. Setakat ini, PGIT telah mengungkayahkan pelbagai aktiviti termasuk sebelum dan sesudah penubuhan persatuan berkenaan pada Disember yang lalu yang antaranya lawatan sambil belajar di Daerah Temburong dan mengenali 1 Kampung 1 Produk.

    Persatuan berkenaan, baru-baru telah menghadiri Program Bangkit Bersama yang dikendalikan Kumpulan Itqan, Program Pembangunan Eksekutif bagi Pegawai-Pegawai Kerajaan Pengurusan Pertengahan kali ke-32 (EDPMMO32) dalam Seminar Kepimpinan dan Urus Tadbir sekali gus memberi semangat kepada ibu-ibu tunggal untuk terus memperkukuhkan ekonomi dan kemahiran mereka.

    Harapan PGIT

    Program Bangkit Bersama ini telah memberikan impak besar kepada ahli PGIT khususnya dalam penerapan jati diri dan nilai-nilai kukuh di mana selepas seminar selama empat yang dihadiri itu, PGIT telah berjaya mewujudkan lapan resolusi yang dijadikan panduan.

    Antara ahli PGIT menghadiri Seminar Kepimpinan dan Urus Tadbir bagi Program Bangkit Bersama.
    Antara ahli PGIT yang menyertai aktiviti dalam pengisian seminar.

    Ahli PGIT dan Kumpulan 1 EDPPMO32 menerokai peluang kerjasama dengan BIBD.

    Ini adalah bagi mencapai hala tuju dalam jangka masa pendek dan jangka masa panjang dengan harapan ia akan dapat memperkukuhkan persatuan PGIT untuk menjadi satu komuniti yang kuat, saling memberikan sokongan antara satu dengan lain dan sentiasa bergerak kehadapan.

    Selepas ini, PGIT berharap akan lebih banyak pihak yang akan dapat berganding bahu bersama untuk meningkatkan kapasiti kemahiran ibu-ibu tunggal dalam pelbagai bidang. Selain untuk terus maju selaku sebuah komuniti ibu-ibu tunggal yang mandiri, berkemahiran dan seterusnya menyumbang ke arah pertumbuhan sosio ekonomi.

    Perkongsian ahli PGIT

    Dayang Rohan binti Mahmud, berkongsi pandangan beliau mengenai seminar yang telah dihadiri yang mana menjelaskan peserta Kumpulan Itqan EDPMMO32 telah berjaya mengungkayahkan program yang sangat bermanfaat buat ibu tunggal dalam mengubah minda dan tingkah laku ke arah yang lebih positif dan progresif. Ia juga dapat meningkatkan kemahiran dan keupayaan ahli PGIT untuk lebih berkeyakinan dalam urus tadbir PGIT.

    Selain mempromosi kewujudan PGIT kepada masyarakat amnya dan ibu-ibu tunggal khasnya dan menemukan PGIT dengan pihak berkepentingan yang dapat sama-sama membantu memperkukuhkan PGIT selaras dengan hala tujuan ‘Bangkit Bersama’ menuju ke arah pemerkasaan diri dan pembinaan komuniti yang saling mendukung sesama sendiri.

    Manakala Dayang Nor Sharita binti Rosman pula mengongsikan, program ini telah memberikan manfaat dari segi peningkatan ilmu pengetahuan di samping berjaya mendedahkan ilmu baharu dalam bidang Kepimpinan dan Urus tadbir, keusahawanan, sosial media, ICT, asas kewangan dalam perniagaan, komunikasi dalam organisasi, muhasabah diri dan sebagainya.

    Tambahnya, seminar ini satu peluang keemasan yang sangat berharga terutama bagi ibu muda yang mandiri.

    Walaupun bergelar ibu tunggal, persatuan ini juga tidak ketinggalan untuk berkongsi rezeki yang diperoleh dengan pihak-pihak yang memerlukan di mana persatuan ini telah menyampaikan sumbangan derma kila kepada salah seorang ahli. Di samping itu, ahli-ahli persatuan ini juga bergiat dalam bidang perniagaan kecil-kecilan mengikuti kemahiran masing-masing

    Latar belakang Program Bangkit

    Program Bangkit Bersama merupakan sebuah program pendekatan sosial yang bertujuan untuk menonjolkan dan mempromosikan kewujudan PGIT yang baru ditubuhkan kepada masyarakat di negara ini.

    Selain membantu memperkenalkan PGIT dengan pihak berkepentingan supaya dapat membuka peluang serta membina kedayatahanan para ibu tunggal dalam usaha pemerkasaan dan pembaikan diri serta pembinaan komuniti yang kuat dengan saling memberikan sokongan antara satu sama lain.

    Program Bangkit Bersama telah mengadakan Seminar Kepimpinan dan Urus Tadbir yang dihadiri oleh 20 orang ahli eksekutif PGIT selama empat hari bermula 8 Mac hingga 11 Mac 2022.

    Seminar ini antara lain bertujuan untuk mendedahkan ahli persatuan mengenai sifat kepimpinan yang berteraskan pembangunan insaniah, ilmu, iman, amal dan ihsan di samping kepentingan mempraktikkan urus tadbir yang cekap, adil, saksama dan bertanggungjawab.

    Perlaksanaan telah dapat dicapai dengan sokongan padu daripada BIBD selaku penaja utama program serta kerjasama Qalam Academy sebagai konsultan seminar. Seminar ini turut dibantu dengan sumbangan tajaan daripada Tabung Amanah Islam Brunei dan juga Pusat Dakwah Islamiah.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...