‘Perkasa komuniti ambil tanggungjawab hindari COVID-19’

KUALA LUMPUR, 28 MEI – Pemimpin komuniti perlu memperkasakan komuniti masing-masing untuk mengambil tanggungjawab melindungi dan memelihara komuniti daripada jangkitan COVID-19, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, sehubungan itu, kempen akan dilakukan bagi mendidik masyarakat supaya lebih bertanggungjawab dalam memastikan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dipatuhi dan sekali gus meringankan beban petugas barisan hadapan.

Ia merupakan antara perkara yang dibincangkan oleh perdana menteri dalam sidang video bersama Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah tengah hari tadi berkenaan perkembangan terkini situasi COVID-19 di Malaysia.

“Langkah ini juga sangat penting dalam merangka exit plan bagi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), yang juga merupakan kriteria terakhir yang mesti dipenuhi sebelum PKPB boleh ditamatkan,” katanya dalam status yang dimuat naik menerusi akaun rasmi Facebook beliau hari ini.

Perkara lain yang turut dibincangkan dalam sidang video berlangsung selama 40 minit ialah proses penghantaran balik pendatang asing tanpa izin yang disahkan negatif COVID-19.

Muhyiddin berkata, beliau telah mengarahkan proses itu dipercepatkan bagi mengurangkan risiko penularan semula jangkitan virus itu dalam kalangan pendatang tanpa izin yang berada di depot tahanan imigresen.

“Keseluruhannya, saya amat berpuas hati dengan pencapaian semasa usaha memerangi COVID-19 seperti yang dimaklumkan kepada saya oleh Datuk Seri Ismail Sabri dan Datuk Dr Noor Hisham.

“Saya percaya sekiranya seluruh masyarakat dapat bekerjasama dan mengambil tanggungjawab menjaga komuniti masing-masing, negara kita akhirnya akan berjaya mengakhiri penularan wabak COVID-19,” katanya.

Pada masa yang sama, perdana menteri turut menafikan dakwaan kononnya beliau kini berada di Singapura bagi menjalani rawatan kesihatan. – Bernama

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin 
Yassin pada persidangan video bersama Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah di rumahnya, kelmarin. – Bernama