Saturday, April 19, 2025
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perkasa pasaran modal negara

    Oleh Syahmi Hassan

    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Okt – Dengan pertumbuhan positif pada Pasaran Modal Islam di peringkat global, tema Persidangan Pasaran Modal Islam Brunei Darussalam (BICAM) 2018 iaitu ‘Pasaran Modal Islam: Peranannya dalam Memangkin Pertumbuhan Ekonomi’ sesuai bagi menangani ketidakpastian dan kelembapan pasaran ketika ini.

    Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) baru-baru ini mengurangkan ramalan pertumbuhan global untuk tahun ini dan tahun depan dari 3.9 peratus kepada 3.7 peratus. Walaupun menghadapi cabaran dari segi persekitaran ekonomi yang tidak menentu dan tidak stabil, peluang untuk mewujudkan pertumbuhan masih ada, ter-masuk Pasaran Modal Islam.

    Demikian telah dikongsikan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, selaku Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah AMBD ketika menyampaikan ucaptamanya di Persidangan BICAM 2018 hari ini, bertempat di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong.

    Menurut Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar, berdasarkan Laporan Kestabilan Industri Perkhidmatan Kewangan Islam 2018 yang diterbitkan oleh Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSB), sukuk global melonjak sebanyak 25.6 peratus pada 2017 berikutan pengeluaran berkesan (sovereign) dan pelbagai hala yang kukuh di pasaran kewangan Islam utama.

    Aset dana Islam juga meningkat sebanyak 18.9 peratus pada 2017. Dengan digabungkan, kedua-dua sektor telah menjadikan Pasaran Modal Islam komponen penting dan berdaya maju dalam Industri Perkhidmatan Kewangan Islam Global.

    Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar ketika menyampaikan ucaptama di persidangan tersebut.

    “Lima tahun yang lalu, AMBD sebagai pengawal selia pasaran modal di Brunei Darussalam memperkenalkan Perintah Pasaran Sekuriti 2013 (Securities Markets Order 2013). Sejak itu, banyak inisiatif telah diambil bagi terus merangsang pertumbuhan pasaran modal, termasuk penerbitan Peraturan Pasaran Sekuriti, 2015.

    Beliau juga mengongsikan angka yang menggalakkan dan perkembangan baru-baru ini di Pasaran Modal Islam dalam negeri iaitu aset pematuhan Syariah yang telah meningkat dengan baik, sebanyak 82 peratus pada suku kedua tahun ini berbanding dua tahun lalu.

    Pasaran sukuk berkesan (sovereign) juga terus berkembang dengan sokongan berterusan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, dengan jumlah terbitan yang mencapai $12.3 bilion setakat ini, berkembang sebanyak lebih daripada 10 peratus setahun secara purata untuk lima tahun yang lalu.

    Menurut Yang Berhormat Pehin, Pasaran Modal Negara Brunei Darussalam masih muda, namun lima tahun dari sekarang, beliau berharap dapat melihat pasaran modal yang mendalam yang memacu pembangunan ekonomi yang mapan melalui mobilisasi dana yang cekap, yang membawa kepada perkembangan pesat sektor swasta dan penciptaan pekerjaan.

    “Seperti yang kita ketahui, konsep Pelaburan Tanggungjawab Sosial (SRI) dan kewangan hijau mempunyai sinergi yang besar dengan prinsip-prinsip panduan utama Maqasid As-Shariah atau Objektif Syariah dalam kewangan Islam.

    Sebaik-baiknya, Pasaran Modal Islam harus menyokong ‘Impact Investing’ iaitu pelaburan yang dibuat kepada syarikat, organisasi dan dana yang menghasilkan kesan sosial dan alam sekitar serta pulangan kewangan,” tekan Yang Berhormat Pehin.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda