Perkasa pendidik Pusat Ehsan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OKT – Dalam usaha untuk melengkapkan kakitangannya dengan ilmu pengetahuan mengenai teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam menyampaikan pendidikan kepada pelajar-pelajar berkeperluan khas khususnya dalam situasi pandemik, Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam telah mengadakan Bengkel Memperkasa Pendidik untuk menjadi Inovatif dan Melengkapi Mereka Dengan Kemahiran Pembelajaran dan Pengajaran Abad ke-21.

Bengkel yang diadakan selama dua Jumaat itu disertai oleh kira-kira 35 orang kakitangan Pusat Ehsan yang telah menerima sijil penyertaan masing-masing pada majlis yang berlangsung di Pusat Ehsan, hari ini.

Hadir untuk menyampaikan dan menyempurnakan penyampaian sijil penyertaan kepada para peserta ialah Ketua Pendidikan Microsoft Brunei, Dayang Siti Aisyah Zawiyah binti Mohd Riza serta ahli Lembaga Pemegang Amanah dan Wakil Pusat Ehsan, Pengiran Sarimah binti Pengiran Haji Abdul Latiff.

Bengkel itu dikendalikan oleh Ketua Jabatan ICT Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Pakar Pendidik Inovatif Microsoft, Bethsaida Ruiz di mana beliau berkongsi maklumat yang berharga dengan semua para peserta supaya mereka dapat memperoleh lencana Pendidik Inovatif Microsoft (MIE).

Para peserta diberikan pendedahan, ilmu pengetahuan dan kemahiran untuk menjadi seorang Pendidik Inovatif Microsoft, Bilik Darjah Inklusif Microsoft dan Ujian Penilaian Atas Talian menggunakan Microsoft Forms.

Bengkel itu juga memberikan peluang kepada para peserta untuk mengakses sumber dan aplikasi pendidik secara percuma.

Dayang Siti Aisyah Zawiyah dan Pengiran Sarimah menyampaikan sijil penyertaan kepada salah seorang peserta bengkel yang berlangsung di Pusat Ehsan, kelmarin.