Tuesday, December 3, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perkasa pendidikan kanak-kanak yang terpinggir di Sabah

    KUALA LUMPUR – Sejak tahun 1977, Dr Kathryn Anne Rivai, seorang pendidik kelahiran New Zealand komited untuk meningkatkan akses pendidikan kepada kanak-kanak terpinggir di negara ini terutamanya mereka yang ‘tidak berdokumen’ di Sabah.

    Berhijrah ke Negeri Di Bawah Bayu lebih empat dekad lalu kerana mengikuti suaminya, Zainal Rivai yang merupakan anak jati Sabah, wanita yang kini berusia 71 tahun secara signifikannya memberi banyak impak ke atas landskap pendidikan di negeri berkenaan menerusi kemahiran serta kepimpinannya.

    Kathryn mula terbabit dalam bidang pendidikan di Sabah apabila dia diambil berkhidmat sebagai guru sekolah menengah di Kota Kinabalu pada tahun 1978 sebelum menyertai Maktab Nasional, sebuah sekolah swasta sebagai Timbalan Pengetua dan Pemangku Pengetua.

    Pada tahun 1998, beliau merintis penubuhan sekolah rendah swasta (SRS) termasuk Datuk Simon Fung yang berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan dan Seri Insan pada tahun 2004.

    Pada tahun 2005, beliau turut sama membantu pembinaan semula sekolah-sekolah di Acheh, Indonesia yang musnah akibat bencana tsunami. Kathryn bukan sahaja menyaksikan kemusnahan besar yang berlaku tetapi juga trauma yang menimpa komuniti tempatan.

    Dr Kathryn Anne Rivai menumpukan sebahagian besar kerjayanya untuk meningkatkan akses kepada pendidikan untuk kanak-kanak terpinggir di Sabah. – Bernama

    Keadaan itu mencetuskan semangatnya untuk menggerakkan semula bidang pendidikan dan menghasilkan ProVisi Education – perundingan pendidikan Indonesia yang berkembang ke seluruh negara untuk melatih serta menyokong pendidik serta jabatan pendidikan tempatan. Sekolah kerajaan dan komuniti tempatan turut mendapat manfaat daripada program berkenaan.

    EKUITI, PENDIDIKAN BERKUALITI

    Kathryn mula berdepan dengan isu kanak-kanak di Sabah yang sukar mendapatkan pendidikan pada tahun 2009. Begitu terkesan dengan apa yang dialaminya itu sehinggakan beliau bertekad untuk memberi keutamaan, mendokong hak sejagat kanak-kanak untuk mendapatkan pendidikan.

    Segala-galanya bermula apabila beliau mendapat permintaan daripada sebuah syarikat perladangan dan pengilangan kayu balak pada tahun 2009 untuk mengadakan sekolah bagi kanak-kanak yang terpinggir di Sabah.

    Lanjutan daripada itu, beliau menubuhkan Sekolah Etania, yang didaftarkan secara rasmi dengan Pendaftar Syarikat (ROS) di bawah nama Persatuan Pendidikan Kanak-Kanak Matakana Sabah.

    “Sepanjang kehidupan bekerja saya, hampir 50 tahun saya habiskan untuk mengajar dan dalam tempoh 14 tahun lepas, saya banyak menghabiskan masa dengan anak-anak terpinggir yang tidak mempunyai akses kepada pendidikan.

    “Bagi saya pengalaman dengan anak-anak terpinggir ini amat berharga, melihat mereka menimba ilmu serta nilai-nilai baik bagi membantu pembinaan negara,” Kathryn yang kini menetap di Luyang, Kota Kinabalu memberitahu Bernama. Beliau memperolehi ijazah kedoktoran dalam bidang kanak-kanak terpinggir dari Universiti Malaysia Sabah dan pengajiannya itu signifikan memandangkan Sabah mempunyai komuniti besar yang hidup di bawah garisan kemiskinan, dihimpit pelbagai isu termasuk pemakanan tidak seimbang, buta huruf dan perkahwinan yang tidak didaftar.

    Kanak-kanak berkenaan yang sering menghadapi masalah seperti penjagaan kesihatan dan pendidikan, begitu sukar mengeluarkan diri daripada kitaran kemiskinan.

    Dengan sebanyak 14 buah sekolah di bawah naungan Etania, Kathryn menawarkan pelbagai usaha menerusi pendidikan dan kursus kemahiran hidup bagi mengelakkan mereka daripada meminta sedekah di jalan-jalan serta terlibat dengan penagihan dadah.

    Sekolah-sekolah Etania itu, yang kebanyakannya terletak di ladang kelapa sawit dan kampung mempunyai seramai 27 orang guru dan lebih seribu orang pelajar, berusia antara lima tahun hingga 18 tahun.

    Mengenang kembali masa yang dihabiskan di pelbagai pusat pembelajaran di Sabah, Kathryn berkongsi pelbagai pengalaman indah, dipenuhi dengan gelak ketawa, kreativiti serta pelajaran yang disampaikan kepada kanak-kanak terpinggir itu.

    “Banyak yang saya belajar daripada kanak-kanak itu, antaranya kesusahan hidup serta tragedi dalam kehidupan mereka. Mereka begitu gigih belajar, berani, tabah dan menikmati sepenuhnya kehidupan, meskipun mereka mungkin dikategorikan sebagai golongan merempat.

    “Saya dapat melihat setiap anak itu mata mereka bersinar kerana diberi peluang untuk belajar. Memori itu takkan dapat saya lupakan,” tambahnya yang turut fasih berbahasa Melayu.

    “Kami tahu pelajar-pelajar kami digelar sebagai ‘kanak-kanak halimunan’ Sabah kerana tak ramai mahu mengenali atau menjaga atau mengambil berat akan kebajikan mereka.

    Malah, ada juga yang mencemuh.

    “Kerana itulah saya fikir pendidikan semula perlu dalam masyarakat kita untuk memahami isu seperti kemanusiaan, apa itu ekuiti dan ekualiti,” tambahnya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda