Thursday, February 20, 2025
22.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perkasa pentadbiran zakat

    Oleh Ak Zaki Kasharan & Syahmi Hassan

    Gambar oleh Muiz Matdani

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Jun – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah agar mencari kaedah terbaik untuk membanteras kemiskinan dengan zakat, sehingga penerima-penerima zakat akan dapat berdikari, tidak lagi menerima zakat tetapi menjadi pengeluar zakat.

    “Zakat adalah sebaik-baik sistem untuk mengurus ekonomi. Dengannya, pembahagian rezeki menjadi teratur, di mana orang kaya akan jadi penyumbang, sementara mereka yang berhak pula akan jadi penerimanya,” tekan Baginda semasa bertitah di Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran bagi tahun 1439H bersamaan 2018M yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, malam ini.

    Melalui sistem zakat, titah Baginda, struktur masyarakat akan terjamin kukuh dan tidak pincang, kerana yang ‘berhajat’ akan tetap terbela, sementara golongan yang ‘terabai’ tidak akan berbangkit lagi dalam masyarakat.

    “Ini tidak mustahil untuk berlaku, misalnya dengan bermodalkan wang zakat, penerima zakat boleh dibimbing untuk berniaga atau memulakan satu-satu perusahaan sehingga mereka berjaya dan mampu untuk keluar dari kepompong kemiskinan. Jika ini dapat dicapai, maka tidak syak lagi, ia adalah satu kejayaan besar dalam pentadbiran zakat.”

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan titah pada Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan hadiah johan Kategori E kepada Awang Abdul Aziz bin Noor Nasran.

    Baginda juga merasa bahawa pihak berkenaan wajar mencuba dan mengusahakan satu cara yang boleh membawa kita kepada kesedaran, iaitu kesedaran untuk berubah, bukan untuk kekal tidak pernah berubah kerana merupakan idaman bagi setiap masyarakat maju yang mana tanpa perubahan, tidak akan ada cerita tentang kemajuan, kerana perubahan bersinonim dengan kemajuan.

    Baginda Sultan juga menyeru agar pentadbiran zakat terus diperkasa dan dapat dikemaskan dalam semua cara dan menanganinya dengan strategik.

    “Dalam pengurusan zakat, tidaklah semestinya statik, tetapi wajar untuk meningkat atau berubah, di mana dengan peningkatan atau perubahan itu, boleh memungkinkan terbukanya satu ‘laluan tepat’ untuk dilalui, bagi mengatasi apa-apa yang sukar diatasi.”

    Sistem pengeluaran, pengutipan dan pengagihan zakat diambil daripada Al-Quran dan hadis sebagai satu cara pengurusan ekonomi umat Islam, kerana itulah Al-Quran diturunkan sebagai ‘hidayah’ atau petunjuk yang lengkap bagi segenap aspek kehidupan yang meliputi kehidupan di dunia membawa sehingga ke akhirat dan salah satu daripada petunjuk Al-Quran tersebut adalah mengenai zakat yang merupakan satu kewajipan dalam rukun Islam yang lima.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda