Perkasa pertanian

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JUN – Kumpulan pertama bagi projek rintis penanaman padi, AgroBIZ LiveWIRE Brunei telah menandatangani perjanjian pada Majlis Induksi dan Penandatanganan bagi Program HNTec dalam Agroteknologi (Industri Padi) di Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Agroteknologi, Wasan, hari ini.

Hadir menyaksikan penanda-tanganan berkenaan ialah Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif IBTE (Akademik), Hajah Mariah binti Haji Abdul Manaf, Pengurus Nilai Dalam Negara Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP) dan Pengerusi LiveWIRE Brunei, Hajah Rosita binti Hassan dan Pengarah Program LiveWIRE, Pengiran Redzuan bin Pengiran Haji Abbas.

Sepuluh orang telah mendaftar bagi projek tersebut, di mana mereka akan membangunkan ladang padi seluas 10 hektar dengan menggunakan varieti padi berhasil tinggi dan jentera moden untuk meningkatkan hasil serta pengeluaran dengan lebih cekap.

Terdahulu Pemangku Pengetua IBTE Kampus Satelit, Dr Suhaimi bin Haji Abdul Wahab dalam ucapan alu-aluannya mengongsikan bahawa projek seumpama itu adalah bersesuaian dengan visi dan misi IBTE iaitu melahirkan tenaga kerja yang profesional dan berkemahiran tinggi serta ‘industry ready’ dengan menawarkan latihan-latihan teknikal dan kursus pembelajaran mengikut standard dan piawaian yang telah ditetapkan.

“Projek ini juga selaras dengan matlamat pihak LiveWIRE Sdn Bhd iaitu bagi sama-sama menjayakan hasrat dan usaha Brunei Darussalam’s Economic Council (BDEC) dalam memastikan adanya alternatif bagi pembangunan ekonomi yang berdaya tahan di negara ini,” kongsinya.

Dr Suhaimi ketika menyampaikan ucapan alu-aluannya.
Majlis penandatanganan surat perjanjian yang ditandatangani oleh para peserta dari IBTE Kampus Agro-Teknologi.

Menurut Dr Suhaimi, bidang agribisnes bukan sahaja penting dalam membantu memperkukuhkan prospek eksport negara ini serta meningkatkan sumbangan kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara, malahan juga menyediakan lebih banyak peluang kerjaya bagi para belia dalam perniagaan berasaskan agro.

Selain itu, beliau juga menjelaskan bahawa kadar belia yang meneroka sektor pertanian masih rendah memandangkan masih ada salah faham bahawa bidang perladangan dan pertanian mempunyai prospek pekerjaan yang kurang, dan keusahawanan pertanian adalah usaha yang berisiko.

“Oleh itu, mindset seperti inilah yang akan kita sama-sama cuba untuk ubah dengan adanya projek-projek besar seumpama ini yang menjadikan belia sebagai aset utama bagi menjayakannya,” tekan beliau.

Manakala itu, Hajah Rosita dalam ucapannya antara lain mengongsikan bahawa ini merupakan kali pertama Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP) melalui LiveWire Brunei berkolaborasi dengan IBTE Kampus Agro-Teknologi bagi menjayakan projek rintis penanaman padi untuk menyahut seruan negara bagi meningkat kadar pengeluaran beras negara.

Menurutnya, objektif utama projek tersebut ialah untuk melahirkan usahawan yang berjaya dalam penghasilan padi, merangkumi keseluruhan ekosistem penghasilan iaitu penanaman anak benih, pengurusan ladang, pengendalian jentera, penuaian padi dan seterusnya penghasilan beras, pembungkusan dan pemasaran.

“Pelbagai kemudahan akan disediakan termasuklah peralatan yang berteknologi tinggi seperti penggunaan dron untuk semburan baja, natural farming atau penggunaan bahan organik dan mesra alam seperti penanaman companion crops (bunga matahari, serai wangi) sebagai pestisid semula jadi, penggunaan vertical rice dryer yang lebih jimat tenaga dan efektif, rain water harvesting dengan pengumpulan air hujan yang disalurkan ke takungan air dan sebagainya,” kongsi Hajah Rosita.

Di samping itu, beliau juga menekankan bahawa kebajikan para peserta projek juga menjadi keutamaan mereka di mana selain daripada menyediakan suasana pembelajaran yang selesa, LiveWIRE Brunei juga akan memberikan latihan terbaik dari aspek teknikal dan juga komersial dengan tenaga pengajar yang terdiri dari ‘subject matter experts’ dari dalam dan luar negeri.

Pada penghujung ucapannya, Hajah Rosita berharap agar para peserta komited untuk membuat yang terbaik dan mengambil peluang yang ada untuk persiapan bagi menghadapi cabaran yang lebih besar pada masa akan datang.

Skim tersebut akan berjalan selama dua kitaran, bermula Julai ini hingga Oktober 2020. Projek AgroBIZ yang merupakan kerjasama antara LiveWIRE Brunei dan IBTE, Kementerian Pendidikan bertujuan untuk menghasilkan usahawan tani (agropreneurs) yang berkemahiran dan terlatih dengan kemahiran pertanian dan juga perusahaan untuk menjadi petani komersial yang berjaya.

Peserta program tersebut juga akan dilengkapi dengan kemahiran keusahawanan yang termasuk skim ‘LiveWIRE Bright Ideas’, diikuti dengan kem latihan pembangunan jati diri selama tiga hari di Daerah Temburong dan siri rancangan perusahaan.

Majlis induksi dan penandatanganan tersebut adalah susulan daripada penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) semasa pelancaran AgroBIZ pada 23 Januari lalu dan dengan majlis pecah tanah pada 18 April lalu.