Wednesday, April 24, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Perkasa produktiviti domestik, demi kelangsungan sekuriti makanan

    KUALA LUMPUR – Isu kekurangan bekalan makanan dan kenaikan harga keperluan asas itu  kebelakangan ini begitu dirasai oleh pengguna dengan keluhan kedengaran daripada hampir setiap kumpulan pendapatan.

    Meneliti pandangan pakar dan penganalisis serta pihak berkaitan, rata-rata melihat keadaan itu membayangkan perlunya tindakan lebih agresif dan sistemik daripada kerajaan dalam memastikan jaminan makanan untuk seluruh rakyat.

    Apatah lagi kata mereka negara bergantung pada import untuk menampung keperluan domestik, dan pada tahun lepas sahaja Malaysia dilaporkan mengimport lebih 50 peratus bekalan makanan yang bernilai sekitar RM63 bilion.

    Isu kompleks

    Mengulas mengenai isu itu, Timbalan Dekan Graduate School of Business, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Mohd Helmi Ali berkata pengurusan rantaian bekalan makanan adalah sesuatu yang sangat kompleks dan memerlukan kerjasama pelbagai pihak.

    Beliau mengakui pemantauan harga yang dijalankan oleh kerajaan adalah antara usaha proaktif yang dapat melindungi pengguna dari segi kecukupan bekalan dan menangani kenaikan harga barangan yang kian melampau.

    Langkah kerajaan Malaysia mengusahakan penanaman jagung di ladang seluas 100 hektar di Chuping, Perlis serta penanaman jagung bijian di ladang kelapa sawit di seluruh negara mampu menangani isu kenaikan harga dan juga kekurangan bekalan ayam yang dihadapi. – Bernama
    Peningkatan harga baja dan racun merupakan antara punca harga sayur-sayuran melambung tinggi. – Bernama
    Ketua Laboratori Belia dalam Kepimpinan, Politik dan Kewarganegaraan, Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman. – Bernama

    “Namun pemantauan ini perlu dilakukan dengan lebih menyeluruh, dari peringkat akar umbi, bagi menyelesaikan isu sebenar yang menjadi punca utama kepada masalah rantaian bekalan,” ulasnya kepada Bernama.

    Jelas beliau, ini kerana sebarang masalah dalam rantaian bekalan makanan akan memberikan kesan berantai, iaitu jika tidak dibendung di punca utama, permasalahan akan berterusan dan tidak dapat diatasi dengan baik. 

    Mengulas lanjut, Mohd Helmi berpandangan peranan penyelidik tempatan amat penting dalam membantu kelangsungan rantaian bekalan makanan menerusi pemerkasaan produk tempatan, khususnya hasil tani, yang secara langsung dapat mengurangkan kebergantungan negara terhadap import.

    “Peningkatan harga baja dan racun import merupakan antara contoh kesan berantai kepada rantaian bekalan makanan yang akhirnya akan dipindahkan kepada pengguna.

    “Langkah segera dan mudah yang boleh diambil adalah kemungkinan melalui subsidi, namun cadangan ini tidak lestari dan bertahan lama. Bagi saya, kekuatan dan hak cipta yang dimiliki penyelidik tempatan boleh digunakan pada saat getir ini untuk mengkomersialkan produk seperti racun dan baja,” katanya.

    Teliti setiap aduan

    Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat Dr Abdul Razak Khasbullah berkata pemantauan harga di setiap peringkat boleh membantu pihak berkuasa mengenal pasti punca kenaikan.

    “Ada sebab kenaikan (harga) berlaku.  Contohnya, harga sayuran termasuk terung, halia dan cili yang ditawarkan kami di Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian (PPHP)  memang lebih murah sebab kita edar di pasar basah dan pasar raya tertentu sahaja yang telah bekerjasama dengan PPK.

    “Memang ada beza harga ditawarkan oleh kami dengan tempat lain kerana ada pengeluar menaikkan harga sayuran disebabkan peningkatan kos baja.

    “Ini kerana kebanyakan baja diimport dari Brazil. Jadi, suka atau tidak, harga memang perlu naik, dan kerana itu kerajaan perlu mengkaji punca kenaikan kos dan cari jalan untuk menyelesaikannya,” kata beliau.

    Kelangsungan sekuriti makanan

    Sementara itu,  Ketua Laboratori Belia dalam Kepimpinan, Politik dan Kewarganegaraan, Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman melihat kerajaan berada di landasan tepat dalam menangani isu kenaikan harga dan kekurangan bekalan makanan.

    Mengambil contoh isu bekalan ayam sekarang, beliau berkata langkah kerajaan mengusahakan penanaman jagung di ladang seluas 100 hektar di Chuping, Perlis serta penanaman jagung bijian di ladang kelapa sawit di seluruh negara mampu menangani isu kenaikan harga dan juga kekurangan bekalan ayam yang dihadapi. 

    “Walaupun agak terlambat bak kata pepatah sudah terhantuk, baru terngadah, langkah ini wajar dipuji kerana, sekalipun tidak dapat menyelesaikan isu berbangkit secara drastik, setidak-tidaknya langkah ini dapat membantu menambah bekalan ayam untuk jangka panjang,” jelasnya.

    Sebelum ini, Ketua Pertanian Bersepadu FGV Abdul Razak Aya berkata penanaman jagung berskala besar itu merupakan antara usaha pihaknya membantu menyelesaikan kemelut bekalan ayam.

    Pada masa sama, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) pula mencadangkan agar pengeluar sawit memperuntukkan sebahagian kecil daripada keluasan ladang untuk penanaman jagung bijian yang disifatkan MAFI sebagai langkah wajar bagi mengurangkan kebergantungan terhadap bijian dari luar negara.

    Mengulas lanjut, Haliza berkata Malaysia perlu menumpukan usaha menghasilkan bekalan makanan secara bersepadu, terancang dan holistik bagi menjamin kelangsungan bekalan makanan.

    Katanya, agensi kerajaan dan swasta mesti memperkemas dan merancakkan lagi kerjasama dalam bidang pertanian berteraskan makanan menerusi penyelidikan dan pembangunan (R&D), suntikan modal, kepakaran dan teknologi.

    “Generasi muda juga mesti dilibatkan dan digerakkan secara agresif untuk memupuk minat mereka menceburi sektor pertanian moden berteraskan makanan.

    “Inisiatif tertentu boleh disediakan pada peringkat awal kepada mereka seperti latihan, modal dan tanah bagi mendukung usaha mereka bergiat dalam bidang pertanian,” katanya.

    Kebun sayur berskala besar

    Bagi mengurangkan kebergantungan  negara terhadap barangan import khususnya bekalan makanan, langkah drastik perlu diambil segera  dalam memperbanyak sumber makanan khususnya sayur-sayuran.

    Untuk itu, pensyarah Sekolah  Perniagaan dan Ekonomi, UPM  Prof Madya  Dr Anuar Shah Bali Mahomed berpendapat antara yag boleh dilaksanakan kerajaan ialah menanam pelbagai jenis sayuran yang  boleh dituai dengan segera atau mengeluarkan hasil dalam tempoh enam bulan, dalam skala besar.

    Ini kerana katanya, jika krisis bekalan makanan semakin meruncing, sayur-sayuran yang ditanam itu mencukupi untuk bekalan dalam negara serta menjadi talian hayat kepada rakyat.

    “Langkah ini perlu dilaksanakan segera supaya negara mempunyai alternatif mencukupi sekiranya berlaku keadaan luar jangka,” ulasnya.

    Beliau turut mencadangkan agar kerajaan mengambil inisiatif  ‘meminjamkan’ tanah milik ia yang bersesuaian secara percuma selama dua tahun kepada pekebun, khususnya bumiputera, untuk menanam sayur bagi menampung keperluan makanan rakyat di negara ini jika krisis bekalan makanan semakin meruncing.

    “Inisiatif ini ibarat serampang dua mata. Selain membantu meningkatkan pendapatan usahawan, hasil yang diperoleh juga boleh dieksport ke negara terjejas bekalan makanan.  

    “Perkara ini secara tidak langsung langkah dapat menangani krisis dan menawarkan sesuatu untuk dimanfaatkan apabila krisis melebar,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...