Thursday, April 25, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    Perkasa sistem sokongan demi kesejahteraan warga emas

    KUALA LUMPUR – “Warga tua teras masyarakat, hidup lama penuh jasa setia, pada negara, didik anak dan cucu, ke arah matlamat kita. 

    “Lama sudah kau hidup teruji, penuh ranjau dan rintangan, untuk kemerdekaan, kitalah pewarisnya, di dalam negara bertuah.”

    Begitulah antara rangkap lagu Warga Tua Teras Masyarakat yang pernah berkumandang di corong radio dan turut menjadi lagu latar iklan khidmat masyarakat di televisyen era 90an terutamanya.

    Meskipun sudah lama tidak kedengaran, namun mesej yang ingin disampaikan menerusi lagu ini jelas mengangkat kisah pengorbanan dan perjuangan warga emas yang banyak berjasa kepada keluarga, masyarakat dan negara, justeru perlu sangat dihargai golongan muda.  

    Permata negara

    Pengorbanan besar warga emas disantuni dengan Sambutan Hari Warga Emas Kebangsaan pada 1 Oktober setiap tahun dan untuk tahun 2022, tema sambutan ialah ‘Daya Tahan dan Sumbangan Warga Emas Wanita’. 

    Ahli masyarakat harus memahami peranan untuk menghadapi negara tua harus bermula dari sekarang.

    Selain mengadakan hari sambutan bagi meraikan warga emas yang disifatkan sebagai permata negara, sistem sokongan bagi menjamin kesejahteraan golongan itu perlu diperkasa bagi memastikan kebajikan mereka terpelihara, lebih-lebih lagi Malaysia kini sedang menuju ke arah ‘negara tua’ menjelang tahun 2030.

    Menurut Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Datuk Shaharuddin Abu Sohot, agensi itu menyediakan pelbagai perkhidmatan bagi menjamin kesejahteraan warga emas di negara ini terutama golongan terpinggir yang memerlukan sokongan serta bantuan.

    Usaha JKM turut mendapat dokongan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dengan menawarkan perkhidmatan sokongan, sosial serta kebajikan kepada warga emas seperti program bantuan kewangan, penjagaan institusi dan program sokongan sosial K4K (komuniti untuk komuniti).

    “Bagi program bantuan kewangan, sehingga Ogos 2022, KPWKM menerusi JKM telah menyalurkan Bantuan Warga Emas kepada 138,629 warga emas yang melibatkan peruntukan kewangan sebanyak RM555,190,137.00. 

    “Bantuan ini diberi kepada warga emas berumur 60 tahun ke atas yang tidak mempunyai mata pencarian untuk menyara kehidupan dan jika mempunyai keluarga, keluarga tidak berkemampuan untuk menyara hidup mereka (warga emas).

    “Bantuan ini juga bagi menggalakkan warga emas supaya terus tinggal dalam komuniti,” katanya ketika ditemu bual sempena Hari Warga Emas Kebangsaan, di Ibu Pejabat JKM, Putrajaya.

    Tingkat potensi warga emas

    Bagi menjaga kebajikan golongan warga emas supaya tidak hidup melarat, terdapat dua buah pusat penjagaan institusi iaitu Rumah Seri Kenangan (RSK) yang disediakan untuk warga emas daif yang memerlukan penjagaan dan perlindungan, manakala Rumah Ehsan (RE) untuk warga emas yang sakit dan uzur bagi memberi penjagaan, rawatan dan perlindungan.

    Mengulas lanjut, Shaharuddin berkata, program Sokongan Sosial K4K melibatkan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), Unit Penyayang Warga Emas (UPWE) dan Program Khidmat Bantu di Rumah (Home Help Services).

    “Mungkin ramai yang mengetahui tentang PAWE yang merupakan satu perkhidmatan bercorak pendampingan sosial dan pembangunan kepada warga emas yang melibatkan kerjasama strategik antara KPWKM dengan agensi kerajaan yang lain serta badan bukan kerajaan (NGO).

    “Program PAWE menekankan kepada pembangunan potensi yang ada pada warga emas dari segi keupayaan mereka yang masih sihat dan bertenaga untuk menyumbang khidmat bakti dan kepakaran kepada komuniti setempat,” katanya.

    Menurut beliau, sehingga kini terdapat sebanyak 153 PAWE (merangkumi 140 kawasan Parlimen) telah beroperasi dan aktif dengan warga emas yang berdaftar seramai 50,929 orang.

    UPWE merujuk kepada perkhidmatan pengangkutan yang disediakan untuk warga emas mendapatkan pemeriksaan serta rawatan kesihatan di hospital mahupun klinik. Sehingga tahun 2017, sebanyak sembilan buah kenderaan UPWE yang dikendalikan oleh NGO bagi tujuan berkenaan.

    Shaharuddin turut menyentuh Program Khidmat Bantu di Rumah yang dikendalikan oleh sukarelawan, dan antara bantuan yang ditawarkan termasuk mengemas dan membersihkan tempat tinggal, menemani warga emas membeli barangan dapur, membayar bil utiliti, membawa mereka ke hospital dan menatarias warga emas.

    “Sehingga 31 Julai lepas, seramai 3,178 sukarelawan secara kumulatif memberi bantuan melalui khidmat tersebut kepada seramai 9,931 warga emas,” katanya.

    Negara menua 2030

    Kesejahteraan warga emas terus dibela selepas Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 pada 7 Oktober lepas berkata, untuk tahun 2023, hampir RM1 bilion disediakan khusus untuk kebajikan warga emas.

    Jumlah itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding RM580 juta pada 2020 berikutan kenaikan kadar bantuan kebajikan warga emas dan perluasan kelayakan yang meningkatkan bilangan penerima.

    Menurut Tengku Zafrul, kerajaan terus menyediakan geran berjumlah RM21 juta untuk menyokong operasi institusi penjagaan warga emas, kanak-kanak dan Orang Kurang Upaya (OKU) swasta yang dikendalikan oleh NGO.

    Menyifatkan senario penuaan di Malaysia sebagai aspek yang semakin dititikberatkan, berikutan negara ini sedang menuju ke arah negara tua apabila 15 peratus daripada populasi penduduk Malaysia terdiri daripada warga emas, Shaharuddin berkata, aspirasi JKM adalah untuk melihat warga emas, antara kumpulan sasaran jabatan itu untuk hidup sihat, cukup kewangan, tenteram serta terpelihara.

    “Kesejahteraan sosial dan pembangunan yang dinikmati hari ini adalah hasil titik peluh dan usaha gigih generasi terdahulu.

    “Ahli masyarakat harus memahami peranan untuk menghadapi negara tua harus bermula dari sekarang,” katanya.

    Merujuk data terkini Jabatan Perangkaan Malaysia, jangka hayat semasa lahir penduduk Malaysia pada tahun 2021 dijangka meningkat kepada 75.6 tahun atau kira-kira 12 tahun lebih tua berbanding lima dekad lepas iaitu pada 1970 yang mencatatkan 63.6 tahun.

    Peningkatan jangka hayat secara berterusan itu menunjukkan negara akan mengalami atau mempunyai penduduk semakin tua menjelang tahun 2030 dengan peratusan penduduk berusia 60 tahun ke atas akan mencecah 15.3 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia.

    Jabatan itu turut menyatakan populasi umur 60 tahun dan ke atas menunjukkan peningkatan setiap tahun, pada tahun 2021 seramai 3.5 juta (10.7 peratus) kepada 3.6 juta (11.1 peratus) pada tahun ini (2022) daripada jumlah penduduk seramai 32.7 juta orang.

    Komitmen kerajaan

    Sehubungan itu, Shaharuddin berkata, penggubalan Dasar Warga Emas jelas membuktikan manifestasi komitmen kerajaan terhadap golongan berkenaan dan sebagai persediaan negara menghadapi cabaran penuaan masa kini serta akan datang.

    “Ia juga bagi memastikan warga emas terus hidup aktif dan bermaruah serta dapat menyumbang kepada masyarakat dan negara secara inklusif.

    “Seiring itu, Pelan Tindakan Warga Emas Negara turut digubal sebagai landasan kerjasama multisektoral ke arah usaha penambahbaikan sistem penyampaian demi kepentingan dan kesejahteraan warga emas,” katanya.

    Beliau pada masa sama menambah, kesejahteraan warga emas dalam konteks Dasar Warga Emas Negara merangkumi lima dimensi utama iaitu kesihatan (penuaan sihat), sosial (penuaan aktif), ekonomi (penuaan produktif), kerohanian (penuaan positif) dan persekitaran (penuaan menyokong).

    Berdasarkan Laporan Hasil Kajian Kemudahan dan Perkhidmatan Bagi Menepati Keperluan Warga Emas Menjelang 2030 yang diterbitkan Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia, terdapat empat kategori warga emas iaitu tak upaya dan tak berkemampuan; tak upaya dan berkemampuan; berupaya dan tak berkemampuan serta berupaya dan berkemampuan.

    Menurut kajian itu, responden berada dalam kumpulan miskin iaitu tidak berkemampuan  (2.3 peratus), kategori kedua, responden berada dalam kalangan miskin tapi berupaya (21.4 peratus), kategori ketiga, responden dalam kalangan tidak miskin tetapi tidak sihat (8 peratus) dan baki, kumpulan sihat dan berkemampuan yang merupakan responden terbesar.

    Menyedari hakikat ini, Shaharuddin berkata, KPWKM juga merangka dan sedang melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk menggubal satu deraf Rang Undang-Undang khusus untuk warga emas, menambahbaik Model Penjagaan Jangka Panjang sedia ada serta bekerjasama dengan Unit Perancang Ekonomi dan United Nations Development Programme untuk melaksanakan projek rintis Bandar Mesra Usia di Taiping, Perak.

    Sedia hadapi hari tua

    Pelbagai program dirancang bagi memberi kesedaran dan pengetahuan bukan sahaja kepada warga emas tetapi juga kepada pelbagai peringkat umur.

    Antaranya dengan mewujudkan program Intergenerasi Warga Emas, Kanak-kanak dan Remaja yang dilihat sebagai satu medium pelaksanaan berkesan bagi memberi kesedaran kepada orang muda dan warga emas mengenai keperluan menjalankan aktiviti secara bersama dan khidmat masyarakat.

    Menurut Shaharuddin, setakat ini untuk tahun 2022 sahaja, sebanyak 20 Program Intergenerasi Bagi Warga Emas Produktif dirancang dan dilaksanakan dengan mengumpulkan kumpulan warga emas, kanak-kanak serta remaja untuk melakukan aktiviti secara bersama.

    Turut dilaksanakan Program Pengupayaan Intergenerasi dan Solidariti Masyarakat (PIIKAT) yang dilaksanakan di lima buah negeri iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Perak dan Sabah.

    Selain itu, Seminar Citra Minda Intergenerasi (CMI) turut diadakan di 15 buah negeri antaranya Selangor, Terengganu, Perlis dan Sabah. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...