Thursday, April 25, 2024
26.3 C
Brunei

    -

    Perkasa sistem TVET

    Oleh Salawati Haji Yahya
    Gambar Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 NOV – Norma baharu akibat pandemik COVID-19 dan peralihan kepada Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) telah mengubah sebahagian besar landskap keperluan tenaga kerja dari segi kompetensi dan set kemahiran serata dunia, termasuklah di Negara Brunei Darussalam.

    “Menurut laporan Forum Ekonomi Dunia 2020, permintaan pekerjaan yang menjurus kepada penggunaan teknologi dan kemahiran baharu akan meningkat mengikut IR4.0.

    “Lantaran perubahan corak tersebut, negara kita sedang berusaha memperkasakan jaringan ekonomi digital iaitu Rancangan Induk Ekonomi Digital dengan kerangka strategi serta pelan tindakan yang akan dilaksanakan,” ujar Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar semasa berucap pada Majlis Konvokesyen Institusi Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) kali ke-30 di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

    Menurutnya, pemerkasaan sistem pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) adalah langkah yang dilihat amat wajar kerana bidang ini dijangka dapat membantu Brunei membentuk modal insan ke arah pembentukan teknologi baharu supaya graduan mampu menangani cabaran IR4.0.

    “Sejajar dengan misi IBTE untuk menerapkan pelajar dengan proses pendidikan dan latihan berteraskan amalan industri, pada hemat saya, IBTE telah pun membekalkan para graduan dengan kemahiran dan nilai-nilai murni yang terpuji sebagai bekalan menghadapi realiti pekerjaan dan persekitaran masyarakat kreatif dan inovatif pada masa kini dan akan datang.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa menyampaikan sijil kepada salah seorang
    graduan pada Majlis Konvokesyen IBTE kali ke-30 di ICC.

    “Graduan IBTE bukan sahaja mempunyai kemahiran teknikal tetapi turut diterapkan dengan ilmu keusahawanan sepanjang tempoh pengajian mereka di IBTE,” ujarnya.

    Beliau turut percaya, ia akan menjadi nilai tambah di alam pekerjaan atau menjadi usahawan dalam bidang-bidang yang berkaitan pada masa hadapan.

    Dalam memastikan program-program yang dijalankan sejajar dengan keperluan industri dan permintaan tenaga kerja, beliau seterusnya menyeru IBTE untuk terus bekerjasama dengan pihak yang berkepentingan.

    Ini seperti Majlis Perancangan dan Pengambilan Tenaga Kerja (MPEC), Jawatankuasa Pandu Industri Tenaga Manusia (MISC) dan pihak industri dalam mengorak langkah bagi sama-sama mengambil peluang untuk menambah baik serta memberi nilai tambah dalam setiap program pengajian yang ditawarkan kepada pelajar-pelajar.

    Peranan IBTE dalam menyumbangkan kepada pembangunan dan perkembangan sosioekonomi negara sangatlah besar dan ini jelas terbukti daripada hasil kajian tracer study IBTE yang dijalankan enam bulan setelah majlis konvokesyen, telah menunjukkan jumlah kebolehperkerjaan pelajar IBTE mencapai sasaran penunjuk prestasi utama (KPI) pada kadar 75 peratus.

    Perkara ini dikukuhkan lagi dengan laporan daripada Global Talent Competitiveness Index 2022 telah membuktikan kemahiran vokasional dan teknikal di negara ini telah mencatatkan pencapaian yang tinggi dan sangat membanggakan iaitu di tangga ke-18 di peringkat global.

    Beliau seterusnya berharap mutu pengajaran dan pembelajaran di IBTE ini dapat dikekalkan dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa agar dapat memenuhi keperluan stakeholders sektor awam mahupun swasta.

    “IBTE juga harus mengambil langkah positif untuk sentiasa menyemak dan menambah baik kurikulum yang diguna pakai agar sejajar dengan keperluan dan perkembangan pada masa kini dan akan datang,” tambahnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...