Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Okt – Dengan hasrat untuk memperkasa sokongan, penerimaan masyarakat dan mengurangkan stigma ke atas bekas penghuni (rakan seliaan), Jabatan Penjara melalui Bahagian Reintegrasi telah mengadakan program jerayawara di rumah Ketua Kampung Kawasan 3, Rancangan Perumahan Negara (RPN) Lambak Kanan, Haji Mahir bin Mohd Yusof, kelmarin.
Jerayawara yang menyasarkan ahli-ahli majlis perundingan mukim dan kampung, pengawasan kejiranan (PK) dan ketua-ketua kampung di sekitarnya itu juga diselitkan dengan sesi tayangan Dokumentari Menyusur Jalan Pulang dan sesi muzakarah.
Turut dijemput selaku tetamu khas bagi program jerayawara tersebut ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pengiran Haji Ali bin Pengiran Maon yang juga selaku penghulu Mukim Berakas ‘B’.
Jerayawara ini merupakan program kerjasama dengan salah satu rakan strategik Program Reintegrasi iaitu Kelab Komuniti Belia Transformasi (KKBT) yang bertujuan untuk meningkatkan permuafakatan dan silaturahim dengan pihak yang berkepentingan khususnya institusi mukim dan kampung serta memberigakan peranan bahagian dan program-program yang dilaksanakan.
