Perkasa teknologi digital ke arah pemulihan ekonomi

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OKT – Negara-negara anggota ASEAN mempunyai matlamat yang sama iaitu untuk memulihkan ekonominya secara mampan dalam norma baharu setelah melalui tempoh yang amat mencabar yang dibawa oleh penularan pandemik COVID-19.

ASEAN sebagai rakan kongsi perdagangan keenam terbesar bagi Kanada menyaksikan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Kanada sebagai peluang untuk Asia Tenggara mengembangkan lagi pelaburan dan perdagangan merentas pelbagai sektor termasuk perkhidmatan kewangan, ICT, tenaga, infrastruktur dan sumber.

Sementara itu, United Kingdom telah menjadi rakan dialog ASEAN di mana ia membukakan peluang yang besar bagi menjana lebih banyak pekerjaan, meningkatkan perdagangan, pelaburan, pendidikan, sains dan teknologi.

Selain daripada itu, ASEAN juga berhasrat untuk memajukan lagi teknologi dalam Internet of Things, kecerdasan buatan (AI) dan blockchain dengan matlamat untuk mempersiapkan diri bagi masa akan datang.

Perkara itu di antara yang dinyatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Dynamik Technologies, Dayang Haslina binti Taib selaku pengerusi Sidang Kemuncak Pelaburan dan Perniagaan ASEAN (ABIS) 2021 dalam kata alu-aluannya semasa ABIS 2021 yang berlangsung secara maya, hari ini. Beliau menambah bahawa program-program dalam ASEAN seperti Go Digital bermatlamat untuk menyediakan perusahaan-perusahaan mikro dan kecil di kawasan bandar dan pedalaman dengan kemahiran digital.

Manakala itu, Projek Warisan Brunei, Harnessing Impact with Resilient Employability Digitally (HIRED) bermatlamat untuk mengukuhkan modal insan dan tenaga kerja masa hadapan.

Dayang Haslina turut menerangkan bahawa semasa Sidang Kemuncak ASEAN pada November 2020 lalu, Rangka Kerja Susunan Koridor Perjalanan ASEAN (ATCAF) dipersetujui di mana ia bermatlamat untuk melicinkan aliran perjalanan bagi diplomasi dan perdagangan serta bergerak ke arah pembukaan semula aktiviti pelancongan secara selamat dan berperingkat.

Sektor swasta juga mengemukakan satu penyelesaian iaitu ASEAN Digital Gateway and Travel Wallet dengan sebuah prototaip yang menyediakan platform kerjasama bagi mentakrif semula perjalanan serantau supaya kita dapat bersua lagi secara selamat.

Pada persidangan itu, ahli Majlis Mesyuarat Negara selaku Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN BAC) 2021, Yang Berhormat Dayang Siti Rozaimeriyanty binti Dato Seri Laila Jasa Haji Abdul Rahman dalam kata alu-aluannya menyatakan bahawa sidang itu akan memberikan pandangan dan perspektif daripada pelbagai sudut dalam pelbagai isu termasuk masa hadapan pekerjaan, pendidikan, kesihatan dan kehidupan harian dalam pasca-COVID-19 serta juga keutamaan-keutamaan bagi ASEAN dalam norma baharu ini.

Beliau turut menyatakan bahawa sidang berkenaan akan mengete-ngahkan isu berhubungan dengan ekonomi digital ASEAN dan isu yang tidak kurang pentingnya iaitu memastikan sebuah ASEAN yang mampan. Manakala itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Brunei LNG, Hajah Farida binti Dato Seri Paduka Haji Talib dalam ulasan khasnya menyatakan bahawa sidang itu adalah amat penting kerana ia membincangkan mengenai isu-isu utama seperti kemapanan dan peralihan tenaga.