Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 APRIL – Dalam memastikan setiap bahan-bahan terbitan yang meliputi mushaf Al-Quran untuk diterbitkan, dicetak dan diedarkan di Negara Brunei Darussalam memenuhi piawaian yang tinggi, adalah elok bagi agensi-agensi yang berkaitan memperkemaskan lagi Garis Panduan yang sedia ada dengan mewujudkan satu akta khas penerbitan, pencetakan dan pemuliaan mushaf Al-Quran bagi Negara Brunei Darussalam.
Ia berharap akan dapat dimanfaatkan dalam memastikan setiap mushaf yang akan diguna pakai itu memenuhi kaedah Rasam Uthmani yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Hubungan antara tema dengan keperluan akta ini mengingatkan kita kepada bahawa Al-Quran bukan sekadar bacaan, tetapi sebuah manual kehidupan yang mendidik akal-budi untuk mengenal hikmah dan kebenaran.
Perkara tersebut ditekankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa berkenan mengurniakan titah pada Majlis Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan bagi Tahun 1446H/2025M yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas (ICC), hari ini.
Baginda seterusnya bertitah dengan adanya akta berkenaan, kita dapat memastikan bahawa mushaf Al-Quran yang digunakan oleh umat Islam di negara ini adalah sahih, sekali gus menjamin keaslian panduan Al-Quran dalam mencerdaskan akal dan jiwa.

Selain berharap, pihak-pihak berkenaan akan dapat memberikan sokongan padu dalam usaha-usaha berkebajikan ini, dan juga yang berkait rapat dengan pengukuhan amalan supaya tidak terpesong atau tersasar dari landasan pegangan akidah Ahli Sunnah Waljamaah Mazhab Syafi’e.
Laungan Kalamullah yang sentiasa bergema di muka bumi Brunei Darussalam ini, tegas Baginda lagi, tidak diragukan lagi adalah pemangkin kepada kesejahteraan negara dan kemakmurannya.
Terdahulu Baginda Sultan bertitah tema musabaqah tahun ini, Akal Sihat Dengan Al-Quran, amat bertepatan dengan peranan Al-Quran sebagai panduan hidup yang sempurna.
Kitab Suci Al-Quran bukan sahaja memberi pencerahan kepada akal fikiran tetapi juga mendidik jiwa untuk memahami erti kebenaran, keadilan dan kehidupan yang aman serta sejahtera.
Baginda bertitah, “Musabaqah Membaca Al-Quran seperti ini memainkan peranan besar dalam meningkatkan kecintaan umat Islam terhadap Al-Quran.
“Bacaan yang tartil dan indah menyentuh hati, sementara penghayatan isi kandungannya menggerakkan akal untuk berfikir secara mendalam dan bijaksana,” titah Baginda.
Baginda Sultan menyatakan ayat berkenaan menyeru umat Islam untuk menggunakan akal dengan penuh hikmah, berpandukan Al-Quran dalam segala aspek kehidupan.
Akal yang sihat, titah Baginda Sultan, adalah asas kepada masyarakat yang maju dan sejahtera.
“Kecemerlangan akal hanya dapat dicapai apabila ia dipandu oleh wahyu Ilahi iaitu Al-Quran. Al-Quran mendidik akal untuk mengenal perkara-perkara baik dan buruk, memberi pertimbangan yang adil, serta menyatukan ilmu duniawi dengan nilai-nilai ukhrawi,” tambah Baginda.
Baginda Sultan bertitah oleh itu, usaha menjaga kesahihan dan kesucian mushaf Al-Quran merupakan satu amanah yang mesti diberi perhatian utama.