Perkembangan baharu MyDST tingkat pengalaman digital

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 MEI – Aplikasi mudah alih dan laman web MyDST yang dibangunkan oleh MultiSys Technology Corporation, pemaju perisian terkemuka di Filipina, bersama DST telah dilancarkan pada April lalu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh DST, di sini, hari ini, syarikat berkenaan dan MultiSys pertama kali mengumumkan kerjasama mereka pada Ogos 2020 ketika kedua-dua syarikat berusaha mengembangkan capaian pasaran mereka ke rantau ASEAN.

Dengan sinergi itu, kerjasama tersebut mengukuhkan kekuatan kedua-dua syarikat menerusi kolaborasi budaya, teknologi dan teknikal yang berbeza. Sebalik jarak dan kekangan yang ada disebabkan pandemik, kerjasama itu membuktikan terdapat nilai dalam kepelbagaian, tambah kenyataan.

Ketua Pegawai Eksekutif DST, Radin Sufri bin Radin Basiuni berkata, “Pembangunan aplikasi berkenaan menunjukkan wawasan bersama kami untuk berkembang di rantau ini dan juga menandakan permulaan lebih banyak perkembangan pada aplikasi berkenaan.

“Kerjasama kami merupakan satu pengalaman yang mengagumkan. Dengan use-cases library DST, kedua-dua syarikat dapat memudahkan integrasi rumit sekali gus menghasilkan antara muka yang lebih mesra pengguna bagi perkhidmatan-perkhidmatan sedia ada dan yang baharu, secara keseluruhannya memperbaiki pengalaman digital pelanggan,” tambah beliau.

MyDST bermatlamat memberi perkhidmatan kepada semua pelanggan DST bagi menguruskan akaun-akaun DST mereka di hujung jadi dan tanpa perlu berkunjung ke semua cawangan DST.

Platform itu mempunyai pelbagai ciri peribadi yang membolehkan pengguna menguruskan berbilang akaun, membuat pembayaran bil menerusi pelbagai platform pembayaran digital dan memantau penggunaan data, baki kredit dan tambah nilai.

Di samping itu, pelanggan boleh melanggan pakej-pakej data add-on, membeli tambah nilai Easi, memindah kredit kepada pelanggan lain atau membuat sumbangan.

Lebih banyak ciri keselamatan juga ditambah seperti Mobile PIN, Face ID dan cap jari.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif MultiSys, David Almirol Jr pula berkata, “Pengembangan serantau yang berterusan telah mendedahkan bakat, kemahiran dan kapasiti teknologi kami yang berhasrat untuk membantu syarikat-syarikat dan organisasi di sini dan luar negara untuk memulakan atau mengukuhkan perjalanan transformasi digital mereka sendiri.

“Apabila kami terus bergerak ke hadapan, kami akan terus membantu rantau ini berkembang menerusi teknologi Filipina yang canggih,” tambah beliau.