Perkembangan baik, sihat

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OKT – Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino berkata, bukanlah perkara mudah bagi sebuah negara kecil seperti Brunei untuk bersaing dan menandingi negara besar dalam dunia bola sepak, bagaimanapun, beliau terinspirasi dan merasakan bola sepak di negara ini berkembang dengan baik dan sihat.

Infantino yang melawat Negara Brunei Darussalam buat kali pertama sebagai presiden FIFA berkata, kunjungan beliau ke sini merupakan penghormatan bagi dirinya untuk berjumpa dan menyaksikan secara langsung serta berinteraksi bersama komuniti bola sepak sekali gus berpeluang mengadap Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Presiden Persatuan Bolasepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NFABD).

Selain itu Infantino yang turut mengadakan sidang media di NFABD petang tadi juga menjelaskan bahawa infrastruktur dan kemudahan sukan yang disediakan oleh NFABD akan dapat meningkatkan lagi kemampuan sukan bola sepak di negara ini terutama bagi golongan kanak-kanak yang bakal menjadi pemain pelapis pada masa akan datang.

Berkenan berangkat mengiringi kunjungan rombongan FIFA yang bersejarah itu ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara.

Turut mengiringi rombongan presiden FIFA ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ketika berkenan mengurniakan cenderamata kepada Gianni Infantino.
DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara ketika berkenan mengadakan perjumpaan dengan Infantino.
DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ketika berkenan mengurniakan cenderamata kepada Infantino.
DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara ketika memperkenalkan Presiden FIFA kepada ahli Jawatankuasa NFABD.
DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara ketika berkenan menyaksikan presiden FIFA menyertai latihan petang kelmarin.

Sejurus keberangkatan DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara bersama Gianni Infantino dan rombongan ke Bangunan NFABD, terlebih dahulu rombongan FIFA diperkenalkan dengan ahli-ahli jawatankuasa eksekutif dan juga ahli-ahli jawatankuasa tetap NFABD.

Pada perjumpaan berkenaan, DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara telah berkenan bertukar-tukar cenderamata dengan Gianni Infantino.

Sejurus selepas kunjungan rombongan presiden FIFA ke Bangunan NFABD selesai, Gianni Infantino kemudian mengadap DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Timbalan Sultan di Qashr Al-Meezaan.

Kemudian presiden FIFA dan DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara menuju ke Dewan Indera Samudera bagi sesi bersama komuniti bola sepak di negara ini.

Sebelum mengakhiri lawatan, presiden FIFA berserta rombongannya di ne-gara ini dan rombongan bersama DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara sempat dibawa berjumpa dengan para pemain akar umbi dan pasukan kebangsaan negara di padang NFABD di Berakas.

Selain itu, presiden FIFA ketika lawatan turut menyertai latihan akar umbi yang diadakan.

Semasa lawatan berkenaan, para pemain akar umbi dan para pemain kebangsaan negara turut berpeluang mengabadikan kenangan bersama presiden FIFA dan DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara dengan bergambar ramai.

Lawatan ini merupakan sebahagian daripada lawatan presiden FIFA ke Asia Timur yang turut disertai oleh Timbalan Ketua Setiausaha FIFA, Mattias Grafstrom; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan FIFA, Youri Djorkaeff; Ketua Komunikasi FIFA, Onofre Costa; Pengarah Persatuan Ahli dan Pembangunan Asia dan Oceania, Sanjeevan Balasingam dan Pengurus Pejabat Presiden, Federico Raviglione.