Perkembangan COVID-19 di 3 negara

SINGAPURA, MALAYSIA, INDONESIA, 16 SEPT – Singapura melaporkan 27 kes baharu jangkitan COVID-19 dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah keseluruhan kes di republik itu kepada 57,515.

“Berdasarkan kepada siasatan kami setakat ini, terdapat dua kes dalam komuniti, kedua-duanya merupakan pemegang pas kerja,” menurut Kementerian Kesihatan republik itu dalam data ringkas yang dikeluarkan hari ini.

Sementara itu, di Malaysia, jumlah kumulatif kes positif COVID-19 hari ini mencecah lima angka iaitu 10,031 kes selepas 62 kes baharu direkodkan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Perkembangan terkini itu menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 668 kes.

Dr Noor Hisham berkata daripada kes baharu itu, 61 kes mendapat jangkitan dalam negara membabitkan 41 warganegara dan 20 bukan warganegara manakala satu kes import melibatkan seorang warganegara yang pulang dari India.

Indonesia pula hari ini mencatatkan 3,963 kes positif baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam, jumlah harian tertinggi sejak kes pertama dikesan di republik itu pada 2 Mac 2020.

Berdasarkan data yang disiarkan di laman sesawang rasmi pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19, www.covid19.go.id hari ini, jumlah kes positif keseluruhan di republik itu kini meningkat kepada 228,993 manakala 100,236 lagi pesakit masih dalam pemantauan virus berkenaan. Bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini juga, sebanyak 135 lagi kematian direkodkan menjadikan jumlah kematian kumulatif kini 9,100 orang. – Bernama