Perkembangan COVID-19 di Indonesia, M’sia

KUALA LUMPUR/JAKARTA, 23 JUN – Kes positif COVID-19 di Indonesia kini melepasi angka 47,000 iaitu tambahan 1,051 kes baharu bagi tempoh 24 jam.

Menurut jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19, Achmad Yurianto, bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, 35 lagi kematian berlaku menjadikan jumlah keseluruhan kematian sehingga kini 2,535 orang.

“Kes positif kini 47,896 manakala 13,348 pesakit masih dalam pemantauan COVID-19,” katanya pada sidang media hariannya yang disiarkan menerusi YouTube rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia.

Provinsi Jawa Timur mencatatkan jumlah kematian tertinggi keseluruhan iaitu 741 kes, diikuti provinsi Jakarta (594 kes), Jawa Barat (171), Kalimantan Selatan (167) dan selebihnya di wilayah lain di Indonesia.

Dalam pada itu, Malaysia mencatatkan satu angka lagi kes COVID-19, dengan tiga kes baharu yang melibatkan penularan tempatan.

Ia merupakan angka paling rendah selepas hanya dua kes baharu pada 10 Jun lalu, selain tiada kematian dicatatkan, mengekalkan jumlah kematian sebanyak 121 orang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan kes baharu itu, menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 8,590 kes.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 283 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.” – Bernama