Perkembangan COVID-19 di Indonesia, Singapura

JAKARTA/SINGAPURA, 8 JULAI – Indonesia mencatatkan kes positif baharu tertinggi COVID-19 bagi tempoh 24 jam iaitu sebanyak 1,853 kes, tertinggi sejak kes pertama dikesan 2 Mac lepas.

Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19, Achmad Yurianto berkata kes positif keseluruhan di republik itu kini meningkat 68,079 kes, manakala kes kematian keseluruhan setakat ini 3,359 orang.

“Bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, sebanyak 50 lagi kematian berlaku, manakala sebanyak 13,636 pesakit masih dalam pemantauan COVID-19,” katanya dalam sidang media hariannya yang disiarkan menerusi YouTube rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia.

Provinsi Jawa Timur mencatatkan jumlah kematian keseluruhan tertinggi iaitu 1,102 kes, diikuti Jakarta (665 kes), Jawa Tengah (225), Kalimantan Selatan (206) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.

Sementara itu, Singapura yang dalam minggu ketiga Fasa Kedua pembukaan aktiviti ekonominya mengesahkan 158 kes baharu jangkitan COVID-19 dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah keseluruhan 45,298 kes, dengan 26 kematian.

Menurut data ringkas tengah hari dikeluarkan Kementerian Kesihatan republik itu (MOH) hari ini, terdapat sembilan kes dalam komuniti terdiri daripada empat warga tempatan atau pemastautin tetap dan lima pemegang pas kerja.

MOH menambah terdapat tiga kes import dan semua mereka diberikan Notis Duduk di Rumah (SHN) sebaik tiba di Singapura.

Setakat ini, Singapura mengeluarkan 92,800 SHN dengan 9,700 masih lagi aktif.

Kementerian itu berkata majoriti kes hari ini masih merupakan pemegang pas kerja yang tinggal di asrama pekerja.

Dalam data lengkap yang dikeluarkan lewat semalam, Singapura mengklasifikasikan 604 kes sebagai kes import, 1,982 kes komuniti dan 42,554 penghuni asrama.

Setakat 12 tengah hari semalam, 41,002 atau kira-kira 90 peratus daripada pesakit sudah pulih sepenuhnya dan didiscaj dari hospital atau kemudahan penjagaan komuniti. – Bernama