Perkembangan COVID-19 di lima buah negara ASEAN

ASEAN, 29 JUN – Kes positif COVID-19 di Indonesia berterusan mencatatkan peningkatan kepada 55,092 kes, dengan 51 lagi kematian dalam tempoh 24 jam.

Menurut jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19, Achmad Yurianto, bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, 1,082 kes positif baharu dicatatkan manakala jumlah keseluruhan kematian kini 2,805 orang.

Di Singapura, yang kini memasuki minggu kedua pembukaan semula Fasa Kedua hari ini mengesahkan 202 kes baharu jangkitan COVID-19 dengan enam kes melibatkan dalam komuniti.

Malaysia pula kembali mencatatkan satu angka apabila tiga kes baharu dilapor hari ini, menjadikan jumlah kes kumulatif sebanyak 8,637 kes dengan kebolehjangkitan 182 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata dua kes merupakan penularan dalam negara manakala satu lagi kes import.

Thailand pula mencatatkan dua hari berturut-turut tanpa sebarang kes dan korban baharu, menjadikan jumlah kes keseluruhan kekal pada 3,162 dengan lima kematian.

Hari ini merupakan hari ke-34 Thailand tidak menyaksikan jangkitan tempatan.

Manakala itu, sejak 16 April, Vietnam masih berjaya mengekalkan rekod sifar jangkitan baharu COVID-19 dalam komuniti tempatan, menurut Jawatankuasa Pemandu untuk Pencegahan dan Kawalan COVID-19 pada Ahad, lapor agensi berita Vietnam (VNA). – Bernama