Perkembangan COVID-19 di Singapura, Indonesia

SINGAPURA, INDONESIA, 12 JULAI – Beberapa lagi kes baharu dicatatkan di kedua-dua negara Asia Tenggara iaitu Singapura dan Indonesia, di mana Singapura kini melaporkan sebanyak 178 lagi kes baharu jangkitan COVID-19 dalam tempoh 24 jam lepas.

Sementara di Indonesia pula, jangkitan COVID-19 di negara itu melepasi angka 75,000 dengan penambahan kes baharu sebanyak 1,681 dalam tempoh 24 jam.

Dengan perkembangan terkini itu, jumlah kumulatif jangkitan COVID-19 di Singapura mencecah 45,961 kes. Menurut data ringkas setakat 12 tengah hari yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) hari ini, majoriti kes adalah daripada pemegang pas kerja yang tinggal di asrama pekerja asing.

“Berdasarkan siasatan kami setakat ini, ada satu kes dalam komuniti, yang merupakan seorang rakyat Singapura,” katanya.

MOH juga berkata wujud satu kes import yang sudah diberikan Notis Duduk di Rumah (SHN) sebaik tiba di Singapura.

Beberapa penduduk tempatan di Singapura dilihat memakai penutup mulut dan hidung ketika meninggalkan sebuah sekolah yang dijadikan sebagai pusat mengundi semasa pilihan raya di Singapura, kelmarin. Kes baharu terus dicatatkan di Singapura dan Indonesia, di mana kedua negara itu kini sedang berusaha untuk mengekang penularan jangkitan baharu. – AP

Dalam data lengkap yang dikeluarkan lewat semalam, Singapura mengklasifikasikan 610 daripada kes dicatatkan adalah kes import, 2,051 kes komuniti dan 43,122 sebagai kes penghuni asrama.

Setakat 12 tengah hari semalam, 42,026 atau kira-kira 92 peratus daripada pesakit sudah pulih sepenuhnya dan didiscaj daripada hospital atau pusat penjagaan komuniti.

Sebanyak 192 kes disahkan masih lagi berada di hospital semalam, dengan seorang ditempatkan di unit rawatan rapi.

Menurut kenyataan MOH, 3,539 pesakit yang bergejala atau sihat dari segi klinikal tetapi masih positif dalam ujian COVID-19 telah diasingkan dan dijaga di pusat penjagaan komuniti.

Sebanyak 192 kes disahkan masih lagi berada di hospital semalam, dengan seorang ditempatkan di unit rawatan rapi.

Menurut kenyataan MOH, 3,539 pesakit yang bergejala atau sihat dari segi klinikal tetapi masih positif dalam ujian COVID-19 telah diasingkan dan dijaga di pusat penjagaan komuniti.

Sementara di Indonesia pula, menurut Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19, Achmad Yurianto berkata bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, sebanyak 71 lagi kematian berlaku, menjadikan jumlah keseluruhan kematian kini 3,606 orang.

“Kes positif kini 75,699 manakala sebanyak 14,515 pesakit masih dalam pemantauan COVID-19,” katanya dalam sidang media hariannya yang disiarkan menerusi YouTube rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia.

Provinsi Jawa Timur mencatatkan jumlah kematian keseluruhan tertinggi iaitu 1,208 kes, diikuti Jakarta (691 kes), Jawa Tengah (240), Sulawesi Selatan (223) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia. Provinsi itu juga mencatatkan kes positif tertinggi keseluruhan iaitu sebanyak 16,658 kes, diikuti Jakarta (14,517 kes) dan selebihnya di 32 lagi provinsi lain. – Bernama