Perkembangan COVID-19 di S’pura, Indonesia dan M’sia

ASEAN, 22 JULAI – Singapura melaporkan 310 kes baharu jangkitan COVID-19 dalam tempoh 24 jam lepas dengan tujuh kes dalam komuniti.

Menurut data ringkas 12 tengah hari yang dikeluarkan Kementerian Kesihatannya (MOH), daripada tujuh kes dalam komuniti, tiga melibatkan rakyat Singapura atau pemastautin tetap dan empat pemegang pas kerja.

Kementerian itu turut berkata terdapat enam kes dari luar yang diberikan Notis Duduk Dirumah (SHN) sebaik tiba di Singapura.

Dengan perkembangan terkini ini, jumlah kumulatif jangkitan di republik itu mencecah 48,744.

Setakat ini, 27 orang meninggal dunia akibat komplikasi COVID-19 di sini.

Sementara itu, Indonesia mencatatkan 139 lagi kematian akibat COVID-19 dalam tempoh 24 jam, angka tertinggi setakat ini, sejak kes kematian pertama dilaporkan pada 11 Mac.

Bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, kes positif COVID-19 di Indonesia juga berterusan meningkat kepada 91,751 kes iaitu tambahan 1,882 kes baharu dalam tempoh 24 jam. Mengikut data terkini yang disiarkan di laman sesawang rasmi pemerintah Indonesia, jumlah keseluruhan kematian kini meningkat kepada 4,459 orang manakala sebanyak 44,222 pesakit masih dalam pemantauan.

Manakala itu, sebanyak 16 kes baharu COVID-19 dicatatkan hari ini di Malaysia dengan separuh daripadanya adalah kes import, menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. Beliau berkata kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 meningkat kepada 142 kes.

Justeru, katanya, pertambahan kes baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 sebanyak 8,831 kes. Bagaimanapun, tiada kematian dicatatkan hari ini dengan menjadikan jumlah maut akibat wabak itu kekal 123 kes, katanya dalam kenyataan media harian COVID-19, hari ini. – Bernama

Sebahagian ibu bapa yang menunggu anak mereka di luar sekolah di Georgetown dilihat tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan. Malaysia pada 22 Julai telah mencatatkan sebanyak 16 kes baharu COVID-19. – Bernama