Perkembangan COVID-19 di S’pura, Indonesia

SINGAPURA/INDONESIA, 22 JUN – Singapura mengesahkan 218 kes baharu jangkitan COVID-19 dalam tempoh 24 jam yang lepas, menjadikan jumlah jangkitan di negara pulau ini kepada 42,313 kes.

“Berdasarkan siasatan kami setakat ini, terdapat satu kes dalam komuniti iaitu pemegang pas pekerja. Tidak terdapat kes melibatkan rakyat Singapura atau penduduk tetap.

Menurut data ringkas yang dikeluarkan tengah hari di sini hari ini, Kementerian Kesihatan (MOH) memaklumkan majoriti kes melibatkanA pemegang permit kerja yang ditempatkan di asrama pekerja asing.

Setakat ini, 26 orang dilaporkan telah meninggal dunia akibat komplikasi COVID-19, dengan dua kes pertama dilaporkan pada 21 Mac.

Sementara itu, kes positif COVID-19 di Indonesia kini melepasi angka 46,000, susulan penambahan 954 kes baharu bagi tempoh 24 jam.

Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19, Achmad Yurianto berkata bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, 35 lagi kematian berlaku, menjadikan jumlah keseluruhan kematian sehingga kini berjumlah 2,500 orang.

“Kes positif kini 46,845 manakala sebanyak 12,999 pesakit masih dalam pemantauan COVID-19,” katanya dalam sidang media hariannya yang disiarkan menerusi YouTube rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia. – Bernama