Perkembangan COVID-19 di S’pura, M’sia dan Indonesia

MALAYSIA, SINGAPURA, INDONESIA, 21 MEI – Singapura mengesahkan secara awal 448 lagi kes positif COVID-19 hari ini dengan majoriti melibatkan pekerja asing yang ditempatkan di asrama.

Dengan kes baharu itu, menjadikan jumlah yang dijangkiti di republik ini 29,812 kes.

Data tengah hari itu menunjukkan bahawa 13 kes melibatkan rakyat Singapura atau penduduk tetap, demikian menurut Kementerian Kesihatan (MOH) republik ini dalam satu kenyataannya di sini, hari ini.

Manakala di Malaysia, sebanyak 50 kes baharu positif COVID-19 dicatat hari ini, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 7,059 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,149 kes, menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata daripada 50 kes baharu yang dilaporkan, tiga kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara manakala 47 kes adalah penularan tempatan.

“Bagi 47 kes penularan tempatan itu, 41 kes melibatkan bukan warga Malaysia dengan 34 kes dikesan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

“Mereka ini telah berada dalam tahanan sejak sebelum bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas,” katanya dalam sidang media harian mengenai perkembangan COVID-19, di sini, hari ini.

Kes positif COVID-19 di Indonesia pula kini melepasi angka 20,000 kes dengan berlaku tambahan kes positif baharu tertinggi bagi tempoh 24 jam iaitu 973 kes.

Menurut jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19, Achmad Yurianto, jumlah kes positif kini berjumlah 20,162 susulan berlaku tambahan 973 kes baharu tertinggi bagi tempoh 24 jam, sejak kes pertama disahkan pada 2 Mac lepas.

“Bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, 36 lagi kematian berlaku menjadikan kes kematian akibat virus itu kini 1,278 orang,” katanya. – Bernama