Perkembangan COVID-19 di tiga negara

SINGAPURA/JAKARTA/KUALA LUMPUR, 3 JULAI – Singapura hari ini melaporkan 169 kes baharu jangkitan COVID-19 dengan 11 kes dalam komuniti, menjadikan jumlahnya di republik itu sebanyak 44,479 kes.

Menurut data ringkas tengah hari yang disiarkan Kementerian Kesihatan (MOH), kes komuniti melibatkan tiga rakyat Singapura atau penduduk tetap dan lapan lagi pemegang pas pekerja.

Setakat ini, 26 orang meninggal dunia akibat komplikasi COVID-19, dengan dua kematian pertama dilaporkan pada 21 Mac.

Dalam pada itu, Indonesia melaporkan kes positif negara itu kini melepasi angka 60,000, dengan tambahan 1,301 kes baharu dalam tempoh 24 jam.

Jurucakap Pemerintah Indonesia berke-naan COVID-19, Achmad Yurianto berkata  dalam 24 jam, sebanyak 49 lagi kematian berlaku, menjadikan jumlah keseluruhan kematian kini 3,036 orang dan kes positif 60,695 kes, tambahnya.

Manakala Malaysia terus mencatatkan angka positif apabila merekodkan lima kes baharu hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan 8,648, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. – Bernama