Perkembangan COVID-19 di tiga negara

KUALA LUMPUR, SINGAPURA, JAKARTA, 18 OGOS – Kes positif COVID-19 Malaysia hari ini kembali ke satu angka dengan tujuh kes baharu, empat daripadanya kes import.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini menjadikan jumlah kes positif adalah 9,219 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 192 kes.

Beliau berkata kesemua tujuh kes baharu itu melibatkan tiga kes tempatan di Kedah iaitu dua daripada Kluster Sala dan satu kes Kluster Tawar.

“Empat kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara pula melibatkan dua warganegara  tempatan dan dua bukan warganegara yang masing-masing tiga kes dari Bangladesh dan satu kes dari United Kingdom,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan COVID-19 hari ini. Manakala Singapura melaporkan 100 kes baharu dalam masa 24 jam, dengan dua daripadanya kes import menjadikan jumlah terkini menjangkau angka 55,938.

Menurut data ringkas yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Singapura hari ini, kedua-dua kes import itu telah dikenakan Notis Tinggal Di Rumah sebaik tiba di Singapura.

Berdasarkan kepada siasatan setakat ini, kementerian itu berkata terdapat satu kes dalam komuniti yang melibatkan seorang warga Singapura.

Dalam pada itu, kes di Indonesia terus meningkat kepada angka 143,043 hari ini, dengan jumlah pesakit dipantau seramai 78,394 orang.

Berdasarkan data yang disiarkan di laman sesawang rasmi pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19, www.covid19.go.id hari ini, sebanyak 1,673 kes baharu disahkan dalam tempoh 24 jam.

Bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, sebanyak 70 lagi kematian berlaku, menjadikan jumlah kematian keseluruhan kini meningkat kepada 6,277 orang. – Bernama