Perkembangan COVID-19 di tiga negara

MALAYSIA, SINGAPURA, MYANMAR, 1 SEPT – Jumlah kumulatif kematian akibat COVID-19 di negara meningkat kepada 128 kes, mewakili 1.37 peratus daripada jumlah keseluruhan kes apabila satu lagi kematian direkodkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kematian itu melibatkan wanita warganegara berusia 80 tahun yang merupakan antara kes positif dilaporkan pada 15 Ogos dalam Kluster Tawar serta mempunyai latar belakang penyakit barah paru-paru dan darah tinggi.

Sementara itu di Yangon, jumlah jangkitan COVID-19 di Myanmar meningkat kepada 882 dengan 95 lagi kes disahkan dilaporkan pada Isnin malam, lapor agensi berita Xinhua memetik kenyataan Kementerian Kesihatan dan Sukan. Pada Isnin sahaja Myanmar melaporkan 107 kes mencatat lonjakan tertinggi dalam sehari sejak virus itu mula menular lima bulan lalu.

Manakala di Singapura melaporkan 40 kes baharu jangkitan COVID-19 hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di republik itu sebanyak 56,852.

“Berdasarkan siasatan setakat ini, terdapat satu kes dalam komuniti, iaitu pemegang pas kerja,” menurut Kementerian Kesihatan Singapura dalam data ringkas yang dikeluarkan, di sini hari ini. Kementerian itu menjelaskan terdapat tujuh kes import keseluruhan. – Bernama