Perkembangan COVID-19 di tiga negara

INDONESIA/SINGAPURA/MALAYSIA, 18 MEI – Kes positif COVID-19 di Indonesia sudah melepasi angka 18,000, dengan jumlah kematian meningkat kepada 1,191 orang.

Sebanyak 496 lagi kes positif baharu virus itu dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah keseluruhan mereka yang dijangkiti COVID-19 seramai 18,010 orang.

Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19, Achmad Yurianto berkata bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, sebanyak 43 lagi kematian dilaporkan.

Provinsi Jakarta mencatatkan kematian tertinggi iaitu 463 kes, diikuti Jawa Timur (209 kes), Jawa Barat (123) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.

Sementara itu, Singapura mengesahkan secara awal pertambahan 305 kes jangkitan COVID-19 menjadikan jumlah keseluruhan 28,343 kes.

Presiden Indonesia, Joko Widodo (kanan) bercakap bersama penduduk yang terjejas akibat COVID-19 semasa pengagihan bantuan di Jakarta pada 18 Mei. Kes positif di Indonesia kini sudah melepasi angka 18,000. – AFP

Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu mengumumkan hanya dua kes melibatkan rakyat Singapura atau Penduduk Tetap manakala jumlah majoriti melibatkan pekerja asing yang ditempatkan di asrama.

“Jumlah kes yang rendah hari ini susulan kurangnya ujian yang diproses kerana satu daripada makmal ujian sedang menjalani pemeriksaan berikutan isu penentukuran radas, dan akan mengambil masa untuk meningkatkan keupayaan ujiannya,” kata MOH dalam satu kenyataan hari ini.

MOH menjelaskan ia masih berusaha mendapatkan butiran kes dan akan memaklumkan perkembangan terbaharu kemudian.

Lewat kelmarin, semasa mendedahkan data penuh, kementerian menyatakan 998 lagi kes jangkitan COVID-19 telah dibenarkan pulang dari hospital atau fasiliti pengasingan komuniti, menjadikan jumlah yang pulih 9,340.

Buat masa sekarang terdapat 1,210 kes disahkan masih berada di hospital dengan 16 dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi.

Manakala, Malaysia pula telah mencatatkan sebanyak 47 kes baharu positif COVID-19 setakat 12 tengah hari tadi, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk, Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 21 kes adalah dalam kalangan bukan warganegara.

“Jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di Malaysia adalah 6,941 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,213 kes,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

Menurutnya, sebanyak 44 kes sembuh dan dibenarkan discaj hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 5,615 kes iaitu 80.9 peratus dari keseluruhan kes.

Dr Noor Hisham berkata tiada kes kematian baharu dilaporkan dalam tempoh 24 jam lepas setakat 12 tengah hari menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia kekal pada 113 kes.

“Sehingga kini, terdapat 13 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah tersebut enam kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya. – Bernama