ASEAN, 26 MEI – Perkembangan jumlah jangkitan harian COVID-19 di empat negara ASEAN iaitu Filipina, Thailand, Kemboja dan Vietnam telah mencatatkan peningkatan hari ini.
Jabatan Kesihatan Filipina (DOH) melaporkan sebanyak 5,310 kes jangkitan baharu yang membawa jumlah keseluruhan kepada 1,193,976.
Sementara itu jumlah kematian turut melonjak kepada 20,169 selepas 150 lagi pesakit koronavirus meninggal dunia, menurut DOH.
Filipina yang mempunyai lebih 110 juta penduduk telah menguji lebih 12 juta sejak virus itu meletus pada Januari 2020.
Sementara itu, Kementerian Kesihatan Awam Thailand melaporkan 41 lagi kematian, jumlah harian tertinggi dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah kematian sebanyak 873.
Ia juga melaporkan 2,455 jangkitan baharu yang mana 16 kes import dan 2,439 jangkitan tempatan.
Manakala Kementerian Kesihatan Kemboja turut mengesahkan 660 kes baharu koronavirus dalam tempoh 24 jam, membawa jumlah keseluruhannya kepada 26,989 orang.
Jangkitan baharu termasuk 626 kes tempatan berkaitan gelombang ketiga jangkitan komuniti bermula 20 Februari dan 34 kes import.
Dengan tujuh kematian baharu ia telah meningkatkan jumlah kematian keseluruhan kepada 190.
Setakat ini, lebih 2.3 juta daripada 10 juta penduduk sasaran Kemboja sudah pun divaksin.
Kementerian Kesihatan Vietnam pula melaporkan 80 lagi kes baharu membabitkan penularan tempatan setakat Selasa menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 5,931.
Sebanyak 55 kes dilaporkan di kawasan panas iaitu di wilayah Bac Giang, 23 di wilayah Bac Ninh dan masing-masing satu di wilayah Hai Duong dan wilayah Thanh Hoa, lapor Xinhua.
Seramai 2,794 pesakit sembuh setakat ini manakala kira-kira 164,200 orang dikuarantin dan di bawah pemantauan. – Xinhua/Bernama