Perkembangan kes COVID-19 di Indonesia, Singapura, M’sia

ASEAN, 27 JULAI – Kes positif COVID-19 di Indonesia kini mencecah 100,303 kes, pertambahan sebanyak 1,525 kes positif baharu dalam tempoh 24 jam.

Berdasarkan data terkini yang disiarkan di laman sesawang rasmi pemerintah Indonesia, bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, sebanyak 57 lagi kematian berlaku, menjadikan jumlah keseluruhan kematian di republik itu kini 4,838 orang.

Sementara itu, Singapura telah melaporkan 469 kes baru jangkitan COVID-19 di republik itu, dengan 15 kes daripadanya merupakan kes import.

Manakala, jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia kembali mencatatkan satu angka hari ini, iaitu tujuh kes selepas kali terakhir mencatatkan satu angka pada 23 Julai.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 sebanyak 8,904 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 179 kes.

“Daripada tujuh kes baharu, empat kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan tiga warganegara dan satu bukan warganegara yang berkahwin dengan rakyat Malaysia,” katanya semasa sidang akhbar perkembangan COVID-19 hari ini yang disiarkan menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Sekiranya kes harian COVID-19 di Malaysia meningkat secara mendadak, beliau berkata fasiliti kesihatan negara dikhuatiri tidak akan dapat menampung beban yang tinggi seterusnya melumpuhkan sistem penjagaan kesihatan di Malaysia. – Bernama