Perkembangan kes COVID-19 di Malaysia, Singapura

PUTRAJAYA/SINGAPURA, 10 OGOS – Kes positif COVID-19 di Malaysia terus meningkat hari ini dengan 11 kes baharu dilaporkan dengan lima daripadanya merupakan kes import melibatkan warganegara Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata enam lagi kes merupakan penularan dalam negara, melibatkan lima warganegara Malaysia dan satu bukan warganegara.

“Bagi kes import, tiga kes adalah dari Australia, satu kes dari Jepun dan satu kes dari Singapura.

“Manakala bagi penularan tempatan, satu kes dikesan di Johor, tiga kes di Perak melibatkan kluster Kurau, satu kes di Melaka dan satu kes melibatkan bukan warganegara di Selangor,” katanya dalam sidang media harian perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Singapura melaporkan sejumlah 188 kes baharu jangkitan COVID-19 bagi tempoh 24 lepas, dengan 12 daripadanya adalah kes import dan satu kes dalam komuniti.

Tiada kluster baharu dikesan semalam, dan angka terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan dalam negara republik itu kini 55,292. Menurut data ringkas yang dikeluarkan di sini oleh Kementerian Kesihatan Singapura hari ini, semua kes import melibatkan mereka yang dikenakan arahan Notis Tinggal di Rumah, sebaik tiba di Singapura dan kes dalam komuniti didapati melibatkan seorang rakyat Singapura. – Bernama