Perkembangan kes COVID-19 di M’sia, Indonesia

MALAYSIA, INDONESIA, 16 OKT – Jumlah kes baharu COVID-19 di Malaysia kekal tiga angka untuk 16 hari berturut-turut dengan 629 kes hari ini, selain turut merekodkan enam lagi kematian baharu dan 245 kes pulih.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dengan perkembangan baharu itu, menjadikan keseluruhan kes di Malaysia kini sebanyak 18,758 kes, manakala jumlah kematian akibat wabak itu adalah 176 individu dan 12,259 kes pulih sepenuhnya.

“Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 6,323 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya dalam sidang media secara maya menerusi Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini.

Sementara di Indonesia, negara itu mencatatkan 4,411 kes baharu jangkitan COVID-19, menjadikan jumlah kes keseluruhan di republik itu kini 349,160 kes.

Berdasarkan data yang disiarkan di laman Twitter rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia @BNPB_Indonesia hari ini, sebanyak 154,926 lagi pesakit masih dalam pemantauan selepas dijangkiti virus berkenaan.

Sehingga 12 tengah hari ini, sebanyak 112 lagi kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam dan menjadikan jumlah kematian keseluruhan berjumlah 12,268 orang. – Bernama