Perkembangan kes COVID-19 di S’pura, M’sia, Indonesia

SINGAPURA, 14 MEI – Singapura, yang semalam melaporkan 958 kes pulih daripada jangkitan COVID-19, hari ini mengesahkan 752 kes positif baharu, menjadikan jumlah jangkitan di republik berkenaan kini 26,098 kes.

Data awal setakat tengah hari ini menunjukkan hanya dua kes melibatkan warga Singapura atau penduduk tetap manakala selebihnya adalah pemegang permit kerja yang tinggal di asrama pekerja asing.

Singapura setakat ini telah mengklasifikasikan 1,324 sebagai kes komuniti, 580 sebagai kes import, 434 kes yang melibatkan pekerja asing yang tinggal di luar asrama dan 23,008 kes pekerja asing yang tinggal di asrama.

Sementara itu, kes positif COVID-19 di Indonesia kini melepasi angka 16,000, dengan kes kematian meningkat kepada 1,043 orang. Sebanyak 568 lagi kes positif baharu virus direkodkan dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah mereka yang dijangkiti COVID-19 di Indonesia kini mencecah 16,006 orang.

Provinsi Jakarta mencatatkan kematian tertinggi iaitu 452 kes, diikuti Jawa Timur (167 kes), Jawa Barat (99) dan selebihnya di wilayah lain di Indonesia.

Di Malaysia pula, kes positif COVID-19 hari ini mencatat 40 kes baharu, mengekalkan angka antara yang terendah direkodkan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac. Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah kes baharu itu, 31 kes adalah dalam kalangan bukan warganegara Malaysia dan tiada kes import dilaporkan. – Bernama