Perkembangan kes COVID-19 di tiga negara

INDONESIA, SINGAPURA , MALAYSIA, 3 SEPT – Indonesia hari ini mencatatkan 3,622 kes positif baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam, jumlah tertinggi sejak kes pertama direkodkan di republik itu pada 2 Mac lepas.

Berdasarkan data yang disiarkan di laman sesawang rasmi pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19, hari ini, kes positif keseluruhan meningkat kepada 184,268, manakala jumlah kematian keseluruhan kini 7,750 orang.

Sementara itu, Singapura melaporkan 48 kes baharu COVID-19 hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di republik itu sebanyak 56,908.

Menerusi data lengkap yang dikeluarkan lewat semalam, republik itu mengklasifikasikan 913 kes yang dilaporkan sebagai kes import, 2,220 sebagai kes dalam komuniti dan 53,727 melibatkan penghuni asrama.

Manakala, Malaysia telah mencatatkan jumlah kes baharu COVID-19 melibatkan penularan tempatan sekali lagi direkodkan lebih tinggi berbanding kes import dengan 10 kes hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata bagi kes import pula hanya empat kes direkodkan, menjadikan jumlah keseluruhan kes baharu hari ini adalah 14.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 9,374 kes, manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 163 kes,” katanya dalam kenyataan hari ini. – Bernama