Perkembangan kes COVID-19 di tiga negara ASEAN

ASEAN, 20 OKT – Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menyatakan daripada 5,516 kes jangkitan baharu COVID-19 yang dicatatkan hari ini, hanya 1.8 peratus atau 102 kes melibatkan individu dalam kategori Tiga, Empat dan Lima.

Kategori Tiga merujuk kepada mereka yang mempunyai radang paru-paru, Kategori Empat memerlukan bantuan oksigen dan Kategori Lima memerlukan bantuan pernafasan.

Manakala itu, katanya, baki 5,414 kes atau 98.2 peratus pula terdiri daripada mereka dalam Kategori Satu dan Dua iaitu tidak bergejala atau bergejala ringan.

“Daripada jumlah kes baharu itu, 5,502 kes melibatkan penularan dalam negara manakala 14 kes adalah kes import,” katanya dalam satu kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 hari ini.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Filipina (DOH) melaporkan 3,656 kes jangkitan baharu COVID-19 hari ini, meningkatkan jumlah keseluruhan yang disahkan di negara Asia Tenggara itu kepada 2,735,369.

Seorang wanita berjalan melintasi papan tanda menunjukkan maklumat pencegahan penularan COVID-19 di Hanoi pada 19 Oktober. Vietnam kelmarin melaporkan sebanyak 3,646 kes baharu jangkitan COVID-19. – AFP

DOH juga melaporkan lima kematian akibat komplikasi COVID-19 yang membawa jumlah keseluruhan kematian kepada 40,977.

“Jumlah kematian yang rendah hari ini adalah disebabkan isu teknikal,” kata DOH dalam kenyataan merujuk kepada sistem data komputer.

Jumlah keseluruhan kes hari ini adalah yang paling terendah sejak 13 Julai. DOH melaporkan jumlah harian tertinggi adalah pada 11 September iaitu sebanyak 26,303 kes.

Manakala itu, Vietnam turut melaporkan sebanyak 3,646 kes baharu jangkitan COVID-19 termasuk 3,635 jangkitan tempatan dan 11 kes import, menurut Kementerian Kesihatan negara itu.

Kebanyakan kes komuniti dikesan di bahagian selatan termasuk 1,347 di Bandar Ho Chin Minh, 492 di wilayah Binh Duong dan 305 di wilayah Dong Nai.

Jangkitan baharu itu telah membawa jumlah keseluruhan negara itu kepada 873,901, dengan 21,416 kematian, menurut kementerian tersebut. – Xinhua/Bernama