Perkembangan kes COVID-19 di tiga negara

ASEAN, 12 OGOS – Kes positif COVID-19 di Indonesia kini melepasi angka 130,000 selain 86,619 orang masih dalam pemantauan virus itu.

Berdasarkan data yang dimuat naik di laman sesawang rasmi pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19, www.covid19.go.id hari ini, sebanyak 1,942 kes baharu disahkan dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah kes positif virus itu kini 130,718 kes.

Bagi tempoh 24 jam juga sebanyak 79 lagi kematian akibat pandemik itu dilaporkan, menjadikan jumlah kematian keseluruhan kini seramai 5,903 orang.

Sementara itu Singapura telah mencatat 42 kes baharu jangkitan COVID-19 dengan 11 daripadanya adalah kes import dalam tempoh 24 jam lepas.

Menurut data ringkas yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu hari ini, kesemua kes import telah diserahkan notis kuarantin di rumah sebaik sahaja mereka tiba di Singapura. Berdasarkan siasatan MOH setakat ini, ia berkata hanya ada satu kes dalam komuniti, melibatkan seorang warga Singapura sementara majoriti kes adalah daripada pekerja warga asing yang kini sedang dikuarantin.

Perangkaan terbaharu ini menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di republik itu mencecah 55,395. Manakala, Malaysia kembali mencatatkan sebanyak 11 kes positif baharu COVID-19 yang merangkumi tiga kes penularan dalam negara dan lapan kes import dilaporkan hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif wabak berkenaan setakat ini sebanyak 9,114 kes manakala kes aktif kebolehjangkitan COVID-19 berjumlah 172 kes. – Bernama