Perkembangan pendidikan terbaharu dibincang

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 MEI – Mesyuarat Kumpulan Kerja Bersama (JWG) ke-13 di antara Kementerian Pendidikan Brunei Darussalam dan Kementerian Pendidikan Singapura diadakan secara maya hari ini.

Mesyuarat dipengerusikan bersama oleh Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan Brunei Darussalam, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin dan Setiausaha Tetap (Pendidikan) di Kementerian Pendidikan Singapura, Lai Chung Han.

Kenyataan yang diterima mengatakan mesyuarat JWG ialah mesyuarat tahunan yang diadakan berselang seli di antara kedua-dua kementerian untuk menyediakan platform untuk kedua-dua kementerian berkongsi inisiatif pendidikan yang terbaharu dan berterusan serta berkongsi amalan dan pendekatan terbaik dalam pendidikan. Selain itu, mesyuarat juga membincangkan program dan aktiviti pendidikan berkolaborasi di antara kedua-dua negara.

Semasa mesyuarat, Kementerian Pendidikan Brunei Darussalam memberikan taklimat kepada rakan Singapura mengenai perkembangan terbaharu dalam bidang pendidikan yang membabitkan celik huruf digital sementara Kementerian Pendidikan Singapura berkongsi usaha berterusannya untuk memperkukuh celik huruf digital dan menggabungkan pembelajaran bersepadu sebagai ciri-ciri pengalaman persekolahan yang tetap. Kedua-dua kementerian juga berpeluang berkongsi mengenai pengendalian institusi pendidikan tinggi/institut pembelajaran tinggi masing-masing.

Kerjasama yang ada sekarang dikaji semula dan kemajuan program dan aktiviti inisiatif kumpulan kerja bersama dilaporkan pada mesyuarat seperti program twinning sekolah di antara sekolah rendah dan menengah kedua-dua negara, sesi perkongsian kerjaya pakar Singapura dan penyertaan Singapura dalam Konvensyen Pemimpin Sekolah di Brunei Darussalam.

Turut hadir pada mesyuarat ialah Pemangku Ketua Pengarah Pendidikan, Ketua Bahagian, Pusat dan Unit, Dr Hazri bin Haji Kifle, ketua-ketua bahagian dan pegawai kanan dari Kementerian Pendidikan Brunei Darussalam.