Tuesday, April 29, 2025
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perkembangan PMKS terus diutama

    Oleh Sim Y. H.

     

    MMN Logo 2017BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Mac – Perkembangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan terus diberikan keutamaan oleh pihak kerajaan dengan menyediakan prasarana bagi kesejahteraan PMKS serta pelbagai bantuan termasuk akses kepada bantuan kewangan melalui penubuhan SME Bank.

    Menteri Tenaga (Energy) dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr) Haji Mohammad Yasmin bin Haji Umar dalam ucapan penangguhannya di Persidangan Majlis Mesyuarat Negara hari ini, berkata dengan kebijaksanaan serta direct intervention daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sendiri, Pasar Pelbagai Barangan Gadong telah pun ditempatkan di lokasi yang bersesuaian dan tempat penjualan yang selesa sejak 2 Februari 2017.

    “Ini adalah berikutan juga pengubahsuaian yang telah dilaksanakan bagi Tamu Kianggeh di Bandar Seri Begawan. Pejabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sendiri telah mengendalikan dan memastikan projek ini berjalan dengan lancar.”

    Menurut beliau, menerusi intervensi langsung itu ia telah melibatkan seramai 300 peniaga di kedua-dua tempat, di mana pembiayaan skim mikro kredit juga telah diluluskan bagi 19 peniaga di Pasar Pelbagai Barangan Gadong.

    “Projek itu melambangkan keprihatinan dan kasih sayang raja kepada rakyat dan penduduknya.

    Suasana meriah semasa perasmian Pasar Pelbagai Barangan Gadong pada 2 Februari lalu.
    Suasana meriah semasa perasmian Pasar Pelbagai Barangan Gadong pada 2 Februari lalu.
    Antara graduan yang menjalankan perniagaan di Pasar Pelbagai Barangan Gadong.
    Antara graduan yang menjalankan perniagaan di Pasar Pelbagai Barangan Gadong.

    “Saya menyeru untuk kita bersama-sama menjunjung kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan mendoakan supaya Baginda dan kaum kerabat diraja akan sentiasa berada dalam kebahagiaan, sihat walafiat, dan di bawah perlindungan Allah Subhanahu Wata’ala jua.”

    Menyentuh mengenai dengan akses kepada kewangan, beliau berkata pihak kerajaan mengakui bahawa akses kepada kewangan itu adalah penting dan SME Bank akan ditubuhkan dalam masa yang terdekat.

    “Walau bagaimanapun, perlu juga diingat bahawa akses kepada pembiayaan bukanlah penyelesaian yang komprehensif. Sebenarnya, pihak kerajaan telah lama menaruh kepercayaan kepada pengusaha-pengusaha tempatan di mana bantuan secara penghuluran pinjaman kewangan telah diadakan sejak tahun 1999.

    “Sebanyak $142.3 juta telah pun dipinjamkan kepada 654 pengusaha. Terus terang saya nyatakan di sini, usaha ini kurang berkesan bilamana sehingga kini sebanyak $45.8 juta wang yang dipinjamkan belum dibayar balik.”

    Oleh itu, beliau berkata bahawa tumpuan harus diberikan kepada memperkasakan PMKS supaya ia dapat berdaya tahan dan menggunakan akses kepada kewangan itu dengan bijaksana.

    “Kita juga perlu memastikan agar semua perusahaan tempatan diperkasakan supaya mempunyai kemampuan sendiri seperti membangunkan keupayaannya dan pengetahuannya daripada segi kualiti pelan perniagaan (business plan) dan kemajuan bisnes.

    “Ini juga perlu digabungkan dengan keperibadian pengusaha itu sendiri; kuat dan tegas, berdaya tahan dan tidak mudah berputus asa.”

    Beliau percaya dengan memenuhi dua kriteria itu, para pengusaha akan dapat meraih akses kewangan dari pelbagai institusi kewangan di Negara Brunei Darussalam, bukan sahaja dari SME Bank.

    “Di sinilah pihak DARe akan sentiasa memainkan peranan penting dalam membina keupayaan dan memupuk kualiti pengusaha-pengusaha dalam usaha kita untuk memperkasakan PMKS ini.”

    Menurut Yang Berhormat Pehin, dengan membina keupayaan dan mendukung semangat keusahawanan kita akan melahirkan PMKS yang lebih mapan dan berdaya saing serta bukannya PMKS yang hanya hidup pada satu tender atau satu projek sahaja.

    Menyentuh mengenai isu koperasi, Yang Berhormat Pehin berkata, beliau telah mengadakan beberapa sesi muzakarah dengan koperasi-koperasi dan apa yang menyedihkan dalam perbincangan itu, terdapat segelintir daripada pengurus-pengurus koperasi yang lebih mementingkan serta mempersoalkan sokongan kerajaan terhadap kemajuan koperasi, sedangkan mereka sendiri telah melupakan bahawa kemajuan dan pengurusan koperasi ini terletak di bahu pemegang amanah.

    “Ada sebahagian koperasi mengabaikan urus tadbir mereka seperti tidak pernah mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) sejak penubuhannya.

    “AGM amatlah penting kerana ia merupakan forum utama bagi pengagihan kutipan hasil kewangan di antara ahli-ahli koperasi supaya ahli-ahli itu sendiri mengetahui akan penggunaan wang sumbangannya.

    “Saya ingin menegaskan kepada semua pengurus koperasi supaya menjaga apa jua yang diamanahkan oleh ahli-ahli koperasi dengan mengukuhkan urus tadbir koperasi dan juga mengadakan mesyuarat agung tahunan.”

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda