Perkembangan positif

SEOUL, 23 JUN – Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un menerima surat peribadi yang memiliki kandungan positif daripada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, media negara itu melaporkan hari ini, di tengah kebuntuan nuklear di antara Pyongyang dan Washington.

Perbincangan telah terhenti sejak kegagalan sidang kemuncak kedua antara kedua-dua pemimpin itu pada bulan Februari selepas mereka gagal menyetujui apa yang dikatakan oleh Utara sebagai pertukaran antara kedua negara itu.

Kedua-dua pihak saling menyalahkan antara satu sama lain berikutan kegagalan rundingan itu, tetapi kedua-duanya menyatakan kesediaan untuk bertemu semula, dengan Trump mengatakan awal bulan ini bahawa dia telah menerima ‘surat positif’ daripada Kim.

Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) hari ini pula melaporkan bahawa Trump telah menulis surat kepada Kim, yang menurutnya merupakan surat yang mempunyai kandungan yang baik.

“Menghargai keputusan politik dan keberanian luar biasa Presiden Trump, Kim Jong Un berkata beliau berminat untuk membaca surat yang memiliki kandungan yang menarik itu,” kata KCNA. Laporan itu tidak memberi perincian lanjut mengenai isi surat atau ketika ia dikirim dan diterima. Halaman depan akhbar Korea Utara Rodong Sinmun menunjukkan Kim memegang surat Trump ketika ia membacanya di pejabatnya.

Rumah Putih enggan mengesahkan sama ada Trump telah menghantar surat kepada pemimpin Korea Utara.

Tetapi Rumah Biru Presiden Korea Selatan berkata ia menyedari pesanan itu melalui komunikasinya dengan Washington, dan menggambarkan pertukaran itu sebagai ‘positif’.

Laporan KCNA itu datang hanya dua hari selepas Kim menjadi tuan rumah lawatan Presiden China Xi Jinping. – AFP

Gambar fail pada 27 Februari 2019 menunjukkan Donald Trump berjalan bersama Kim Jong Un ketika mengadakan pertemuan di sidang kemuncak kedua AS-Korea Utara di Hanoi. – AFP