Perkembangan teknologi perubatan perlu kemahiran tinggi

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 SEPT – Penyakit tidak berjangkit merupakan satu beban kesihatan yang besar bagi Negara Brunei Darussalam dan penyakit kardiovaskular khususnya adalah punca kematian kedua tertinggi di negara ini.

Perkara yang lebih membimbangkan ialah peningkatan semakin ketara di kalangan pesakit yang lebih muda untuk menerima rawatan bagi pelbagai penyakit jantung seperti penyakit jantung iskemia dan kegagalan jantung.

Oleh itu, pengesanan dan diagnosis di peringkat awal penyakit adalah sangat penting supaya rawatan awal dapat diberikan kepada pesakit bagi memberikan peluang kelangsungan hidup dan kualiti kehidupan yang terbaik kepada mereka yang terjejas oleh penyakit berkenaan.

“Kita sekarang berada di era kemajuan saintifik yang mana teknologi perubatan khususnya telah berkembang pesat pada kebelakangan ini bagi membolehkan pengesanan dan rawatan awal tersebut direalisasikan,” jelas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar ketika berucap pada Majlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Kesihatan dan Politeknik Brunei (PB), Kementerian Pendidikan bagi Kerjasama dalam Bidang Perubatan Kardiovaskular yang berlangsung di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), di sini, hari ini.

Dengan kemajuan dan perkembangan teknologi perubatan yang ada pada masa ini, jelasnya, kira sememangnya memerlukan doktor-doktor dan juruteknologi yang berkemahiran tinggi, bukan sahaja dalam mengendalikan peralatan perubatan terkini tetapi juga berkeupayaan dalam mentafsir bacaan yang dikeluarkan.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham ketika berucap pada majlis tersebut.

Keupayaan dan kemahiran untuk melakukan tafsiran dengan cekap dan tepat adalah sangat penting dalam pemberian penjagaan kesihatan serta rawatan perubatan pesakit.

Dalam hubungan itu, Kementerian Kesihatan mengalu-alukan dan menghargai nilai murni dalam pembelajaran sepanjang hayat dan keinginan untuk mempertingkatkan keupayaan diri pekerja-pekerja kesihatan sebagai satu tanggungjawab mereka ke arah penja-gaan kesihatan pesakit.

Pada masa yang sama, usaha-usaha itu akan membawa kepada penyediaan penjagaan kesihatan yang lebih baik kepada penduduk Negara Brunei Darussalam. Beliau menyatakan bahawa Kementerian Kesihatan sangat berbesar hati dengan MoU yang dimeterai dalam sama-sama menganjurkan program-program diploma bagi bidang perubatan kardiovaskular khususnya program Diploma Tahap 5 bagi kardiovaskular teknologi dan kejururawatan kardiovaskular.

Kementerian Kesihatan menyedari akan kesukaran untuk memperoleh latihan formal dalam bidang-bidang kesihatan tertentu sama ada di dalam atau di luar negara.

“Oleh itu, saya sangat bersyukur kerana Kementerian Pendidikan, melalui pelbagai institusi pengajian tinggi, terus menyokong usaha Kementerian Kesihatan dalam memberikan pendidikan dan latihan berkualiti tinggi kepada pekerja-pekerja kesihatan yang sedia ada dan juga kepada mereka yang bakal menjadi pekerja kesihatan,” tambah Yang Berhormat Dato.

Beliau juga menyatakan bahawa program-program latihan berkenaan juga dirancang untuk ditawarkan kepada penuntut antarabangsa pada masa yang akan datang yang mana ia diharap akan membantu menaiktarafkan lagi reputasi dan kedudukan institusi PB serta piawaian penjagaan kesihatan di Negara Brunei Darussalam secara amnya di peringkat antarabangsa.

Beliau menambah bahawa Sekolah Sains Kesihatan, PB pada masa ini, menawarkan empat program Diploma Tahap 5 iaitu Kejururawatan, Kebidanan, Paramedik dan Kebersihan dan Terapi Pergigian.

Jumlah itu akan meningkat menjadi enam dengan pengenalan program Teknologi Kardiovaskular dan Program Kesihatan Persekitaran pada Januari 2021 serta berharap program jururawat kardiovaskular akan dapat dijalankan menjelang Julai 2021.

Program itu juga akan membolehkan juruteknologi yang sedia ada untuk menambah kemahiran serta memberi mereka peluang untuk memperoleh pengetahuan teori yang lebih kukuh.

Program latihan mereka itu, akan diformalkan dan diiktiraf dengan kelayakan yang diakui di mana dengan kelayakan berkenaan, diharap ia dapat menjadi batu loncatan bagi perkembangan profesional yang lebih lanjut seperti dalam usaha memperoleh kelayakan sarjana muda.