Oleh Imelda Groves HA
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Jun – Delegasi seramai 10 orang belia, hari ini, telah berlepas ke Republik Korea bagi menyertai Program Pertukaran Belia Negara Brunei Darussalam dan Republik Korea yang akan berlangsung selama sembilan hari hingga 5 Julai.
Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar kepada delegasi ialah Pemangku Timbalan Pengarah Belia dan Sukan, Dayang Mariam binti Ulat.
Perwakilan belia yang menyertai program tersebut terdiri daripada pegawai-pegawai kerajaan, mahasiswa dan mahasiswi serta graduan dari institusi pengajian tinggi, usahawan sosial dan alumni Program Belia Cinta Tanah Air dengan diketuai oleh Dayang Norulhuda binti Muhammad Iskandar.
Dayang Norulhuda ketika ditemu bual melahirkan harapan beliau agar dapat bertukar-tukar maklumat, pengetahuan dan seterusnya dapat memperkenalkan budaya Negara Brunei Darussalam ke Republik Korea serta mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara kedua-dua buah negara yang telah lama terjalin.
Menurutnya, program ini merupakan kali ke-8 diadakan dan berdasarkan pada tema pada tahun ini, rombongan juga bakal membawakan budaya Brunei antaranya aktiviti menambat sinjang, menumpah ambuyat dan banyak lagi ke Korea.

Dengan tema ‘Keusahawanan Belia’, program kali ini merangkumi perbincangan dengan belia Korea mengenai keusahawanan, kunjungan hormat ke Kementerian Kesaksamaan Gender dan Keluarga, inap desa bersama keluarga angkat, lawatan-lawatan pendidikan dan tempat-tempat menarik, pendedahan terhadap adat dan sejarah Republik Korea dan sebagainya.
Program pertukaran ini telah ditandatangani di bawah perjanjian persefahaman antara kedua-dua buah negara pada 2010 yang antara lain bertujuan untuk membantu dan mengukuhkan kerjasama antara kedua-dua buah negara.
Program tahunan ini juga bertujuan untuk meningkatkan persefahaman dan kepercayaan belia kedua-dua buah negara melalui penyertaan dalam program berkenaan.
Menerusi usaha itu juga, kedua-dua belah pihak percaya para belia akan mendapat faedah daripadanya seperti persefahaman kebudayaan, ekonomi sosial dan politik.

































