Perkenal budaya negara lain

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 NOV – Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri (STPRI), hari ini, telah mengadakan Hari Antarabangsa dengan tema ‘Memperkenalkan Dunia ke dalam Bilik Darjah’ yang berlangsung di dewan serba guna sekolah berkenaan.

Acara menyaksikan para pelajar mengenakan pakaian antarabangsa yang memperlihatkan budaya beberapa buah negara.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) STPRI, Awang Mohammad Shukri bin Haji Marzuki.

Acara dimulakan dengan tayangan video ‘Larian STPRI’ yang diadakan baru-baru ini seterusnya kuiz geografi rumah-rumah dan beberapa aktiviti lain bagi memeriahkan lagi sambutan.

Majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah bagi Pameran Bilik Darjah Terbaik, pakaian terbaik guru-guru dan pelajar serta Amazing Race yang disempurnakan tetamu kehormat.

Antara lain tujuan majlis adalah untuk memberi penghargaan kepada pelajar sekolah berkenaan seterusnya memberi pendedahan mengenai budaya yang terdapat pada setiap negara.

Antara yang hadir pada Hari Antarabangsa STPRI turut menggayakan pakaian tradisional dari budaya negara lain.