Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 JULAI – GHK Motors Sdn Bhd telah mengadakan pratonton bagi Mitsubishi Xpander Cross dan Mitsubishi Pajero Sport facelift terbaharu di Bilik Pameran Mitsubishi, Beribi, hari ini.
Syarikat berkenaan telah menjemput wakil dari bank-bank tempatan, media, dan orang ramai untuk acara tersebut yang juga dapat disaksikan secara penstriman langsung menerusi Facebook Live.
Hadir bagi merasmikan acara tersebut ialah Pengarah Urusan GHK Motors, Yang Dimuliakan Pehin Kapitan Lela Diraja Dato Paduka Goh King Chin; Pengerusi GHK Motors, Pengiran Halaluddin bin PM Dato Shariffuddin; Pengarah GHK Motors, Jake Goh dan Pengurus Besar Jualan Bahagian Mitsubishi, Au Thien Kiong.
Antara tetamu yang turut hadir ialah Pengurus Kanan Jualan Baiduri Finance Berhad, Haji Muhammad Ali bin Haji Metusin; Ketua Bahagian Jualan dan Pemasaran Baiduri Finance Berhad, Pengiran Haji Rosli bin Pengiran Haji Mohd Daud; Pengurus Pembangunan Perniagaan dan Pentadbiran Baiduri Finance Berhad, Grace Lim Hui Hoon; Pengarah Urusan BIBD At-Tamwil Berhad, Haji Mohd Said bin Haji Zania dan Pemangku Ketua Pemasaran dan Perhubungan Awam BIBD At-Tamwil Berhad, Awang Asharul bin Norshari Kamaluddin.
Pelancaran model yang dipratontonkan itu disempurnakan oleh Yang Dimuliakan Pehin Kapitan Lela Diraja Dato Paduka Goh King Chin, Pengiran Halaluddin, Pengiran Haji Rosli dan Haji Mohd Said.

Mitsubishi Xpander Cross adalah MPV crossover mesra keluarga yang dibina dengan gaya SUV padat, pemanduan yang selesa dan menyenangkan, serta reka bentuk dalaman yang praktikal dan serba boleh.
Kenderaan tersebut adalah varian teratas daripada barisan Xpander yang membolehkan pengguna memandu melalui pelbagai permukaan jalan dengan penuh keyakinan, namun tanpa menjejaskan ruang dan keselesaan MPV tersebut.
Manakala itu, Pajero Sport facelift terbaharu mewarisi keupayaan, kebolehpercayaan dan ketahanan di luar jalan raya siri Pajero dalam SUV bersaiz sederhana.
Ia direka semula dengan tema Elevate Your Journey, yang menampilkan bahagian luar yang lebih tegap namun diperhalusi, berkualiti tinggi dan selesa dengan fungsinya yang canggih.
Pajero Sport baharu itu diciptakan untuk memenuhi keinginan pemandu bagi penerokaan dan pengembaraan.